Tuduh kafir harbi contoh pemikiran keganasan

Tuduh kafir harbi contoh pemikiran keganasan

Menuduh mana-mana warganegara -yang diiktiraf kerakyatannya oleh sesebuah negara- sebagai kafir harbi adalah termasuk dalam ciri-ciri pemikiran keganasan, kata Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Berhujah dalam rancangan bual bicara “Demokrasi – Keganasan Persepsi dalam Perspektif Islam” yang disiar secara langsung di RTM1 malam tadi, Mujahid berkata tuduhan itu timbul ekoran sikap sesetengah ulamak yang hanya memahami teks secara literal dan mengambil sejarah secara totok.

“Istilah kafir harbi yang heboh satu negara. Kenapa timbul dalam keadaan kita ada kerangka negara ada kerakyatan ada kewarganegaraan?

“Persepsi keganasan lahir kerana ada ulamak yang memahami teks secara literal. Kuliah di masjid itu bagus, namun kita harus bimbang apa yang disampaikan,” katanya sambil menambah semakin ramai zaman ini munculnya ‘ulamak segera’ dan ‘mufti google’ yang mempengaruhi masyarakat.

Fahaman keganasan juga kata beliau boleh berlaku apabila sesebuah organisasi khususnya parti politik menganggap kumpulan mereka sahaja yang betul dan sekiranya keluar daripada kumpulan mereka dianggap sebagai keluar agama.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga berkata, menganggap perlaksanaan Islam perlu dilaksana tanpa melihat kepada realiti perundangan dan kerangka negara juga boleh melahirkan persepsi ganas.

“Dia meletakkan jemaah dia sebagai agama dan agama itu jemaahnya. Ini pemikiran takfiri seperti IS dan Al-qaeda,” katanya lagi sambil mengakui pemikiran ini boleh terkena pada sesiapa sahaja tanpa mengira latar politik.

Menegaskan pemikiran keganasan bukan daripada ajaran Islam, Mujahid sebaliknya berkata ia adalah konsep ciptaan barat dalam ‘perperangan peradaban’ demi kepentingan mereka sendiri.

Namun kata beliau, Islam sejak awal mengemukakan solusi bagi mengatasi pemikiran keganasan ini dengan memberi ruang kebebasan secara bertanggungjawab dan dalam kerangka perlembagaan kepada masyarakat supaya mereka dapat memberi pandangan untuk memperbetul persepsi.

Malangnya kata beliau, tindakan negara memperkenal pelbagai akta baru seperti Sosma, Pota dan MKN masih tidak mampu menyelesaikan isu keganasan kerana kata-akta ini lebih digunakan untuk mengekalkan status quo dan memadam demokrasi.

“Berlaku kekeliruan adakah menegur pemerintah itu satu keganasan? Di negara kita salah guna akta berlaku apabila Sosma dikenakan kepada orang yang mengkritik dasar kerajaan,” katanya sambil menyifatkan demokrasi di Malaysia masih tidak berfungsi dengan baik.

Antara jalan keluar kepada semua permasalahan ini kata beliau, adalah dengan kembali kepada ajaran agama dan mengamalkan budaya sederhana selain meneroka satu cara fikir baru iaitu “maqasid syarak” dengan memahami Fiqh Malaysia.

Sementara itu, turut serta menjadi panel dalam forum malam tadi termasuk Ahli Parlimen Pas Bachok Ahmad Marzuk Shaary dan Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya.

TAGS