Tuduhan Azmin Ali tidak iktiraf Pakatan Harapan satu usikan nakal

Tuduhan Azmin Ali tidak iktiraf Pakatan Harapan satu usikan nakal

Forum melibatkan kepimpinan sayap Pemuda dalam Amanah, PKR dan DAP Selangor hari ini dilihat 'panas' dengan persoalan sejauhmana kesungguhan Menteri Besar, Azmin Ali memperkukuhkan Pakatan Harapan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Eric Teh

Forum melibatkan kepimpinan sayap Pemuda dalam Amanah, PKR dan DAP Selangor hari ini dilihat ‘panas’ dengan persoalan sejauhmana kesungguhan Menteri Besar, Azmin Ali memperkukuhkan Pakatan Harapan.

Menjawab beberapa soalan peserta termasuk pendengar radio Pedas FM berkaitan isu tersebut, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zainol Abidin berkata, Azmin sudah berulang-kali menyebut tentang usaha memperkukuh Pakatan Harapan.

“Ini termasuklah memperbaiki beberapa kelemahan di sana-sini kerana untuk berdepan BN bukannya perlawanan budak sekolah.

“Hal ini memerlukan strategi yang baik. Sebab itu, tuduhan yang mendakwa Azmin Ali tidak mengiktiraf Pakatan Harapan ini saya kira satu usikan nakal pendengar Pedas FM,” jawabnya dalam forum anjuran Pemuda Amanah Selangor di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur itu.

Terdahulu, wakil radio berkenaan membacakan soalan pendengar melalui kiriman WhatsApp sebagai respon pada dakwaan Zainol bahawa Pakatan Harapan masih lemah sekaligus tidak relevan untuk membubarkan Dun Selangor.

“Bagi pendengar bukan saja di Selangor, bahkan di seluruh Malaysia, Pakatan Harapan masih tidak kuat kerana Azmin Ali masih tidak mengiktiraf Pakatan Harapan.

“Pas dijadikan kuasa besar tetapi PKR masih hendak tunggu Pas. Berani atau tidak PKR umumkan untuk perkukuhkan Pakatan Harapan di seluruh Malaysia?” soal wakil Pedas FM berkenaan disambut tepukan gemuruh peserta di dewan Restoran Pak Amjal itu.

Zainol kemudiannya menjawab rundingan dengan semua pihak dilakukan dalam usaha memperkukuh Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

“Kita sudah berulang-kali sebut sentiasa perkukuh Pakatan Harapan, sebab itu untuk berdepan pilihan raya akan datang, kita akan berunding dan terus berunding dengan semua pihak termasuk NGO untuk membentuk permuafakatan bersama menjatuhkan BN,” ujarnya lagi.

Beliau juga menegaskan PKR tidak akan sama sekali tunduk pada Pas walaupun menolak pembubaran Dun dengan meneruskan usaha berunding dengan pihak dari parti diterajui Hadi Awang itu.

“Ini prinsip PKR. Kita bergerak atas nadi perjuangan rakyat bukan tunduk pada mana-mana pihak.

“Kita nak sangat bubar Dun, nak pilihan raya, yakinkah kita menang?

“Sekiranya terbubar Dun Selangor, kalau Pas dan Amanah letak calon di kerusi yang sama bertanding, bagaimana?

“Apakah YB Khalid contohnya mampu menang dalam keadaan Pas meletakkan calon di kerusi Parlimen Shah Alam?” soalnya semula.

Zainol juga sekali lagi mengingatkan PKR bukan parti yang boleh dipijak oleh mana-mana pihak.

“Kita tidak izinkan parti ini (PKR) dicampuri oleh pihak-pihak yang ingin menentukan dasar dan perjalanan parti.

“Soal parti lain kena jentikkan parti lain, itu hal lain, kami tidak campur. PKR mahu bertindak sebagai moderator menyatukan semua parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama menumbangkan Najib, Umno dan BN.

“Ini matlamat kita dan ambil alih Putrajaya. InsyaAllah,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ketua DAPSY Selangor, Eric Teh berkata, gabungan parti pembangkang mesti mempunyai dasar yang sama.

“Coalition (gabungan) mesti ada dasar yang sama baru boleh jadi coalition. Kalau dasar berbeza, tak jadi coalition,” tegas Eric.

TAGS