Tuduhan Rafizi berniat jatuhkan Pas, kata Tuan Ibrahim

Tuduhan Rafizi berniat jatuhkan Pas, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap pendedahan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai bekas pimpinan kanan parti itu Datuk Nasharudin Mat Isa menerima sumbangan daripada SRC International Sdn Bhd tiada kaitan dengan Pas.

“Apa yang disebut kononnya kaitan (Datuk) Ustaz Nasharudin (Mat Isa) terima dana, beliau dah tak bersama dengan pimpinan Pas sejak 2011, dan bagi kami dia (Nasharudin) tak ada kena-mengena dengan Pas pun.

“Tuduhan Rafizi ini hanya tuduhan jahat untuk merosakkan nama baik PAS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kelantan kali ke-58 hari ini.

Justeru, beliau berkata, Pas tidak menganggap tuduhan itu sebagai sesuatu yang serius kepada parti itu.

“Sebab itu, kita melihat tuduhan itu sebagai usaha dan niat jahat untuk menjatuhkan Pas dan menganggapnya sebagai gangguan untuk melengah-lengahkan kejayaan Pas.

“Pas tiada kena mengena dan kita tidak terkesan kepada tuduhan tersebut. Kita akan fokus kepada perkara yang lebih penting dan bermanfaat,” katanya lagi.

Semalam, Rafizi mengemukakan akuan bersumpah kepada Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan Nasharudin menerima dana bersumberkan anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd untuk disalurkan kepada Pas.

Menurut Rafizi, sumber beliau adalah bekas pegawai kanan SPRM yang biasa dengan siasatan terhadap 1MDB dan SRC International.

Bagaimanapun Nasharudin menafikan pembabitannya sebagai orang tengah dalam penyaluran wang dana 1MDB kepada Pas dan sedia bekerjasama dalam sebarang siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan yang dikeluarkan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu menyifatkan dakwaan itu sebagai satu fitnah dan bersedia mengambil tindakan undang-undang.

TAGS