Tujuh kali Najib ulang sebut ‘walak dan kesetiaan’

Tujuh kali Najib ulang sebut ‘walak dan kesetiaan’

Amanat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sempena perhimpunan agung parti tersebut tahun ini dilihat sarat dengan mesej pro-Pas sebaliknya parti-parti pembangkang lain yang dicemuh.

Penelitian Malaysia Dateline terhadap Amanat Presiden Umno yang menjadi sisipan dalam akhbar Berita Harian hari ini mendapati terdapat tujuh kali pengulangan kata ‘walak’ yang konsisten digandingkan dengan kata ‘kesetiaan’ dalam ucapan Najib itu.

Bahkan, Najib yang memasuki tahun kelapan sebagai Presiden Umno menghuraikan tafsiran berkenaan prinsip walak yang baginya membawa maksud “nilai-nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah yang wajib diberikan kepada seseorang khalifah.”

“Dalam konteks Umno, kepada Presidennya, manakala dalam konteks kerajaan pula, kepada Perdana Menteri,” katanya dipetik daripada lapan muka surat amanat itu.

Mengaitkan hal tersebut sebagai apa yang dianjurkan oleh ulama, Najib yang juga Menteri Kewangan itu berkata, walak sebenarnya merangkumi institusi keresidenan atau keperdana menterian yang disandang oleh seseorang.

Beliau berpendapat amalan prinsip dan falsafah walak jelas terpancar dalam apa yang dianggapnya tradisi mulia Umno walaupun parti berusia tujuh dekad itu melalui pelbagai rintangan.

Najib juga mendakwa walak dan kesetiaan diamalkannya selaku Timbalan Presiden Umno turut terbukti pada era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Demikianlah juga, walak dan kesetiaan yang diberikan kepada institusi yang sedang saya sandang ini,” tegasnya sambil mengulang ungkapan walak dan kesetiaan sepenuhnya wajib diterima oleh sesiapa yang akan berada mengambil alih jawatan Presiden dan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pekan itu selanjutnya mengaitkan walak dan kesetiaan dalam budaya dan alam Melayu serta agama Islam sebagai semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.

‘Terima kasih Pas’ 

Pada masa sama, ketika parti-parti pembangkang lain digambarkan dalam wajah negatif, amanat Najib ketika menyentuh apa yang dipanggilnya sebagai “perpaduan ummah” secara berterus-terang menghargai sikap Pas mutakhir ini.

“Atas nama perpaduan ummah, kita mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari parti Pas, kerana matang dalam berpolitik dan kekal berada dalam Dewan Parlimen, mendengar pembentangan Bajet 2017 sehingga penghujungnya dan juga tidak menyertai demonstrasi jalanan anjuran Bersih,” katanya lagi.

Beliau turut memberitahu kedatangannya dalam Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa di ibu negara, 4 Disember ini yang juga dijadualkan dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Malah Ahad ini saya akan hadir mewakili Umno pada satu perhimpunan besar-besaran bersama Presiden Pas dan NGO-NGO lain untuk menyatakan pendirian kita yang amat tegas,” jelasnya lagi.

TAGS