Tukar kerajaan dalam PRU14 selamatkan Felda

Tukar kerajaan dalam PRU14 selamatkan Felda

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Generasi muda Felda mesti memastikan saudara mara dan rakan-rakan mereka mendaftar sebagai pemilih bagi melayakkan mereka mengundi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) seterusnya menumbangkan Umno-BN.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil berkata, berikutan krisis Felda yang semakin meruncing ketika ini, anak-anak Felda perlu berterusan berkempen bagi menyedarkan generasi muda dan golongan lama peneroka mengenai pentingnya mengubah pemimpin kerajaan dalam PRU14.

“Pemimpin Umno hari ini tidak boleh lagi diharapkan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan Felda dan penerokanya. Jika perubahan gagal dilakukan, maka hutang dan kerugian Felda akan terus menjerut generasi muda Felda.

“Generasi muda Felda perlu sedar dan mengambil serius penyelewengan dan ketirisan wang Felda yang merupakan harta warisan mereka yang seharusnya mereka nikmati hasil keringat orang tua mereka.

“Generasi muda Felda sama ada yang masih tinggal di Felda atau di bandar hasil kejayaan dalam pelajaran, harus bangkit untuk menyelamatkan hak mereka daripada terus diseleweng. Tidak ada jalan lain bagi mencapai tujuan suci ini selain daripada membuat perubahan dalam PRU ke-14 nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, Felda yang ditubuhkan sejak tahun 1956 telah banyak membantu pembangunan ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya orang Melayu.

Namun katanya, hasil keringat dan pengorbanan peneroka Felda puluhan tahun ini yang telah memberikan keuntungan berbilion ringgit kepada Felda telah diseleweng dengan begitu mudah tanpa rasa bersalah oleh pihak pengurusan Felda, anak-anak syarikatnya serta FGV.

“Kini, pelbagai penyelewengan telah didedahkan termasuk pembelian kondominium mewah bernilai RM 8.4 juta, lebihan pembelian 37% saham Eagle High Plantation sebanyak RM1.43 bilion dan kerugian projek ternakan ikan sturgeon, restoran Savaro dan projek pastri Schneeballen sebanyak RM73.63 juta.

“Kerugian dan kehilangan berbilion ringgit ini bukan sahaja satu pengkhianatan kepada peneroka, malahan ia akan menjejaskan pendapatan dan emolumen lain yang seharusnya diterima peneroka.

“Ia juga satu pencabulan hak peneroka kerana wang tersebut sepatutnya dibelanjakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan anak-anak peneroka seperti biasiswa pendidikan dan pembinaan rumah,” katanya.

Beliau menambah, dengan jumlah baki tunai Felda pada tahun 2015 yang dilaporkan sebanyak RM685 juta di dalam Laporan Tahunan 2015, kedudukan kewangan Felda dikhuatiri begitu tenat apatah lagi dengan utang Felda sudah meningkat RM6.1 bilion.

“Justeru, pembayaran bonus sebanyak RM66.7 juta hanyalah candu bagi memadamkan seketika api kemarahan peneroka dan rakyat yang bersimpati dengan nasib peneroka. Jumlah ini jauh lebih rendah daripada jumlah RM102.12 juta yang dibayar pada tahun 2013. Peneroka sepatutnya dibayar lebih jika ketirisan dan kerugian ini tidak berlaku,” katanya.

 

TAGS