Tukar PM tak selesai masalah negara

Tukar PM tak selesai masalah negara

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mendakwa DAP dan PKR setuju untuk hanya menukar perdana menteri kerana mereka tidak ada masalah dengan dasar negara hari ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menegaskan, masalah pentadbiran negara tidak akan selesai dengan hanya menukar perdana menteri.

Sebaliknya kata beliau, hanya dasar kepimpinan yang berlandaskan Islam akan menyelamatkan rakyat.

“Islam hadir untuk mengubah dasar yang diimani oleh manusia bukan hanya menukar manusia. Dasar kepimpinan perlu diubah. Pemimpin perlu memimpin berdasarkan Islam pada konsep pentadbirannya, pengurusan ekonomi dan kewangannya. Di saat itu barukah rakyat akan berbahagia,” katanya.

Ahli parlimen Kuala Nerus itu mendakwa, DAP dan PKR setuju untuk hanya menukar perdana menteri kerana mereka tidak ada masalah dengan dasar negara hari ini.

“Dicanangkan Save Malaysia iaitu kabinet baru kerajaan antara Ahli Parlimen BN dan Pakatan Pembangkang tanpa Najib. Hanya tanpa Najib! masalah dalam negara tidak akan selesai dengan hanya menukar perdana menteri,” katanya.

Mengulas mengenai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin Datuk Seri Najib Razak berundur kerana tidak bersetuju dengan cara pentadbirannya, beliau mendakwa dasar perdana menteri hari ini adalah kesinambungan dasar perdana menteri sebelum ini yang melahirkan perasuah dan penerima rasuah.

“Hari ini bekas perdana menteri menentang perdana menteri untuk berjuang menukar perdana menteri, bukan untuk menukar dasar.

“Bekas perdana menteri tetap merasakan dasar pemerintahannya dulu adalah baik dan lebih baik daripada perdana menteri sekarang. Dulunya rakyat membencinya lalu berjuang menukarnya dengan perdana menteri baru.

“Bekas perdana menteri kemudiannya berkempen menukar perdana menteri lalu berjaya. Hari ini diperjuangkan lagi penukaran perdana menteri. Sedangkan hakikatnya dasar perdana menteri hari ini adalah kesinambungan dasar perdana menteri sebelumnya yang melahirkan negara yang si kaya menjadi perasuah dan si pemimpin penerima rasuah.

“Ia menatijahkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Ia membuahkan hutang negara yang semakin meningkat,” katanya.

Menurut beliau juga, sudah banyak kali percubaan rakyat Malaysia menukar perdana menteri namun dasar tetap juga tidak berubah.

“Perdana Menteri berubah tetapi dasarnya tidak berubah. Cukai tetap menjadi dasar utama kewangan negara. Hasil negara tetap dibelanjakan secara boros. Skandal seumpama 1MDB berulang dengan nama yang berbeza. Ketirisan belanjawan tetap berlaku. Kenaikan kos hidup tetap menjadi rintihan,” katanya.

 

TAGS