Tun M bagaikan institusi politik digeruni Najib-Umno

Tun M bagaikan institusi politik digeruni Najib-Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ucapan Dasar Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam jelas membuktikan beliau gerun dengan kelantangan vokal bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat berpengaruh besar akan menyebabkan Umno hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ahli Parlimen Pokok  Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, serangan demi serangan terhadap warga emas berusia 92 tahun itu mengisi sebahagian dari ucapan dasar Najib.

“Sebagai Presiden Parti Umno persidangan parti itu kali ini mencipta sejarah baru apabila buat julung kalinya Pas terlepas dari serangan Umno sebaliknya, Pas buat pertama kali menerima pujian dari Presiden Parti Umno.

“Tiada yang betul-betul beri manfaat dari ucapan Najib yang boleh dibawa pulang oleh perwakilan apatah lagi untuk rakyat mengambil pedoman untuk menghadapi bebanan kehidupan yang mencabar melainkan maki hamun terhadap Tun Mahathir dan DAP serta Pakatan Pembangkang.

“Kini musuh baru Najib dan Umno ialah Tun Mahathir dan parti Pembangkang yang lain kecuali Pas.

“Kata Najib, warga emas ini adalah antara empat cabaran utama Umno.

“Serangan Najib itu menjadikan Dr Mahathir umpama sebuah institusi politik yang menggugat kedudukan Najib dan Umno-BN,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Mahfuz berkata, beliau belum pernah kedengaran “sang penguasa yang amat berkuasa mengeruni seorang warga emas dari Pekan Rabu Alor Setar” dengan maki hamun akibat daripada “keberanian warga emas” itu yang menolak Najib dan Umno kerana kebusukkan rasuah mencuri wang 1MDB.

“Malah Najib yang berkuasa ini beritahu seluruh dunia bahawa warga emas berusia 92 tahun ini ancaman pada parti Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang berkuasa.

“Saya hanya mampu tersenyum kerana ‘tulang belakang’ kerajaan yang berkuasa kini sedang mereput akibat kekurangan ‘zat’, ujar Mahfuz sinikal.

Beliau berkata, seperti apa yang pernah diucapkan Dr Mahathir iaitu “pemimpin melantik orang yang bodoh dan orang bodoh ini pula melantik orang yang lebih bodoh untuk kekal berkuasa”.

“Ucapan Najib itu telah dengan sendiri memperakui Umno sedang mengalami kelumpuhan dan kereputan sebaliknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan oleh Tun Mahathir kini bersama komponen pembangkang yang lain adalah satu ‘Grand Coalition’ yang mampu mencabar Umno- BN dan mengambil alih kuasa pada pru14 nanti.

“Jika kita duduk di dalam rumah kaca jangan membaling batu ke arah rumah orang lain,” ujarnya.

TAGS