Tun M desak pengundi, petugas pilihan raya tolak rasuah

Tun M desak pengundi, petugas pilihan raya tolak rasuah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Demokrasi boleh disalahguna dan salahlaku sehingga wujud diktator demokratik – atau lebih tepat lagi kleptokratik.

Bagi mengelakkan semua itu berlaku kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad rakyat sebagai pengundi, kakitangan dan pegawai mestilah menolak dengan sekeras-kerasnya RASUAH dalam apa bentuk sekalipun.

Beliau berkata demikian dalam tulisan diblognya hari ini yang menghuraikan berkaitan dengan pilihan raya yang seringkali berlaku penipuan walaupun sesebuah negara memilih sistem demokrasi.

“Janganlah sesiapa berkata oleh kerana rasuah tidak termasuk dalam hukum hudud,ianya akan dibalas hanya di akhirat sahaja. Dia tidak menjadi kesalahan di dunia. Oleh itu terimalah rasuah sebagai rezeki.

“Sebenarnya balasan di dunia akan dirasai oleh semua kerana rasuah, selain dari menjadi beban kepada masyarakat tetap akan menghancurkan negara.

“Melayu Umno mudah lupa, seperti saya nyatakan dalam perhimpunan Agung Umno dahulu.

“Kali ini mereka lupa sayang kepada bangsa, negara dan agama seperti perjuangan Umno di waktu ia ditubuh.

“Yang mereka ingat hanyalah duit itu raja. Dan mereka teruslah menyembah duit.

“Pilihanraya kali ini akan memperlihat duit-duit yang dicuri dikongsi bersama oleh mereka yang terus menyokong Najib.

“Dengan perkataan lain ahli Umno yang terus sokong Najib bersubahat dengannya dalam melesapkan duit Kerajaan (duit rakyat) berbilion-bilion Ringgit.

“Makanlah duit haram ini, duit dari menjual bangsa, agama dan tanahair,” ujarnya.

Justeru katanya pemakan rasuah ini banyak penipuan berlaku dalam pilihan raya sehingga keputusan dipertikai oleh pihak yang kalah. Kadang-kadang rusuhan berlaku, bahkan adakalanya perang saudara berlaku.

“Sebenarnya penipuan mudah diperlakukan dalam pilihan raya. Diantaranya ialah dengan memindah pengundi dari kawasan yang tetap dimenangi kepada kawasan yang parti kalah dengan jumlah undi yang sedikit sahaja,” ujar Dr Mahathir dalam tulisannya.

Bahkan beliau menegaskan pegawai dan kakitangan juga boleh terbabit dalam penipuan itu.

Pekerja dalam pengurusan pilihanraya boleh juga disogok supaya bekerjasama dan tidak melapor penyelewengan yang berlaku.

“Jumlah mereka yang bersubahat seperti ini boleh dilindungi oleh pihak yang berkuasa. Mereka tidak akan didakwa.

“Apabila diisytihar keputusan pihak yang tidak puas hati boleh membantah. Mereka boleh berdemo.

“Tetapi selagi ketua pihak penguatkuasa undang-undang dan pendakwaraya menolak segala dakwaan penipuan dan bantahan oleh rakyat sia-sia sahajalah usaha yang dibuat.

“Parti yang menang secara penipuan akan dirikan Kerajaan dan akan terus menipu dan melesapkan duit rakyat. Ini sudah pun berlaku,” dedahnya.

TAGS