Tun M  isytihar keluar Umno

Tun M isytihar keluar Umno

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan  beliau keluar Umno buat kali ketiga sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak. 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan beliau  keluar Umno buat kali ketiga sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau  membuat keputusan itu kerana Umno bukan lagi ‘Umno’ dan hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.

“Saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini,” katanya dalam sidang media di di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Pada sidang media itu, Tun M turut mengumumkan bahawa isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali keluar daripada Umno atas sebab yang sama sepertinya.

Ini merupakan kali ketiga tokoh politik Kedah itu lucut keahlian Umno. Menyertai Umno pada 1946, Mahathir dipecat keahliannya pada 26 September 1969 selepas pengedaran umum suratnya yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra.

Beliau hanya diterima masuk semula ke dalam Umno pada 7 Mac 1972 dibawah pentadbiran Tun Abdul Razak.

Kira-kira 36 tahun kemudiannya, pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir isytihar keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pada 4 April 2009, iaitu sehari selepas perlantikan rasmi Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir bersama-sama isteri, Dr Siti Hasmah telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli Umno semula.

Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang.

Baru-baru ini anak beliau Datuk Seri Muhkriz juga digugurkan sebagai menteri besar Kedah, tindakan yang dilihat sebagai reaksi balas kem pro-Najib.

Kedudukan Najib kini dilihat semakin mencengkam dalam Umno dan kerajaan, terutamanya selepas peguam negara membersihkannya daripada sebarang salah laku dalam kes derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya dan SRC International.

 Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilihat hampir senada dengan Mahathir, juga telah digantung daripada jawatannya minggu lalu.

TAGS