Tun Mahathir letak semua jawatan termasuk pengerusi Proton

Tun Mahathir letak semua jawatan termasuk pengerusi Proton

Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton Holdings, berkuat kuasa 30 Mac 2016.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton Holdings, berkuat kuasa 30 Mac 2016.

Menurut kenyataan pejabat beliau yang disiarkan dalam blog rasminya chedet.cc surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Dato Seri Syed Faisal Albar semalam.

Dr Mahathir juga telah melepaskan jawatannya sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas, juga berkuat kuasa semalam. Keputusan beliau itu telah disampaikan kepada Rektor UTP, Datuk Abdul Rahim Hashim.

Selain itu, Dr Mahathir juga telah meletakkan jawatan sebagai penasihat kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).

“Ketua Setiausaha Negara telah dimaklumkan mengenai peletakan jawatan-jawatan ini,” kenyataan rasmi itu dipetik.

Kabinet pada 11 Mac lalu telah menamatkan khidmat Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas dan menamakan mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Dr Mahathir tidak wajar memegang jawatan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan selepas beliau tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada.

Keputusan dibuat susulan tindakan bekas perdana menteri itu melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin BN dan pembangkang pada 4 Mac lalu.

Menurut kenyataan itu deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara.

Dr Mahathir dilantik sebagai Penasihat Petronas selepas mengumumkan persaraannya sebagai perdana menteri pada 2003.

TAGS