Tunda bentang RUU 355 beri gambaran senario politik menjelang PRU

Tunda bentang RUU 355 beri gambaran senario politik menjelang PRU

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penundaan huraian usul persendirian Marang berkaitan RUU 355 untuk kali yang kedua pada Sidang Dewan Rakyat semalam bukan sahaja menimbulkan banyak tanda tanya malah memberi gambaran tentang senario politik negara menjelang pilihan raya umum akan datang.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali dalam satu kenyataan media berkata, biarpun seribu satu persoalan timbul daripada tindak tanduk Presiden Pas itu, ia sekurang-kurangnya mampu menjelaskan rakyat terhadap pemetaan garis politik tanah air menjelang PRU-14.

Menurutnya, parti pembangkang perlu menekuni formula mudah Tun Mahathir Mohamad yang dilontarkan pada konvensyen sulung Pakatan Harapan iaitu mana-mana pihak yang mencetuskan masalah terhadap Pakatan Harapan adalah penyokong Datuk Seri Najib Razak.

“Ungkapan ini membantu rakyat mengenal pasti siapakah pembangkang yang komited menentang Umno-BN dalam rangka besar agenda menyelamatkan Malaysia dari pemimpin kleptokrasi yang menjunamkan Malaysia.

“Sekurang-kurangnya tindakan (Ahli Parlimen) Marang itu dapat membantu rakyat mengenal pasti siapakah sekongkol Umno-BN yang akan kita hadapi pada PRU akan datang,” ujarnya.

Di Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Abdul Hadi yang diberi peluang kedua membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian Akta 355 memohon agar huraian usul yang dibaca ditunda pada sidang Mac akan datang.

Ini kali kedua Presiden Pas memohon penundaan selepas sidang Dewan Rakyat penggal lalu dan diluluskan Speaker Dewan Rakyat yang juga pemimpin Umno Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
Menurut Sheikh Omar, tindakan Abdul Hadi itu boleh menimbulkan persoalan tentang niat sebenar di sebalik polemik RUU 355 selama ini.

“Pada mulanya, ia dicanang hingga riuh sekampung seolah-olah RUU 355 ini adalah hukuman hudud. Golongan yang menolaknya ibarat menolak Islam dan boleh gugur keIslamannya,” katanya.

Sehubungan itu beliau mempersoalkan ketelusan dalam usul persendirian RUU 355 Marang dan khuatir ia sekadar menjadi alat untuk mencapai tujuan politik tertentu.

TAGS