Tunda lagi RUU 355 permainan Umno, tegas Rafizi Ramli

Tunda lagi RUU 355 permainan Umno, tegas Rafizi Ramli

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta supaya huraian lanjut mengenai usul pindaan Akta 355  ditunda ke sesi akan datang disifatkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai permainan Umno.
 
“Selepas dirunding dengan Umno, Selasa lalu, usul dipinda pada saat-saat akhir hingga kaedahnya sudah menjadi takzir (kecuali sebatan) dan bukannya hudud seperti yang diuar-uarkan.

“Hari ini, Ahli Parlimen Marang sekali lagi menunda dari membentang dan menghuraikan usul beliau. Permainan Umno itu jelas dan saya ambil pendirian sebegini bermula dari hari ini,” tegasnya dipetik daripada status Facebook rasminya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Agung dan Naib Presiden PKR itu berkata, Abdul Hadi mengemukakan pindaan kepada usul asal untuk meminda Akta 355 tetapi usaha  membentangkannya hari ini mati begitu sahaja.

“Saya difahamkan ini hasil dari beberapa perbincangan ekoran perjumpaan yang dipanggil oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari Selasa lalu.

“Pindaan kepada usul asal bermakna hukuman kini ditetapkan mengikut kaedah undang-undang biasa kecuali yang melibatkan sebat (jika diluluskan had dinaikkan kepada maksimum 100 sebatan),” jelasnya.

Untuk rekod, Zahid dilaporkan berkata, taklimat khas tentang pindaan Akta 355 diadakan kelmarin dengan ahli Parlimen beragama Islam dari BN, Pas, PKR dan Amanah diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, penangguhan tersebut menyebabkan polemik berhubung pindaan Akta 355 akan berterusan sehingga sidang Parlimen akan datang.

“Ahli-ahli Pas akan terus diberi harapan bahawa Umno mahu bersama-sama mendaulatkan Islam melalui pindaan akta ini.

“Kalaulah Umno terus bermain begini sehingga ke belanjawan akan datang, adakah ahli parlimen Pas akan terus berkecuali dalam undian belanjawan akan datang?” bidasnya merujuk kepada ahli parlimen Pas yang mengambil pendirian berkecuali ketika pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan atau Bajet 2017 di Dewan Rakyat, 7 November lalu.

TAGS