Dakwaan IS: Jamal tidak akan mohon maaf kepada Bersih

Dakwaan IS: Jamal tidak akan mohon maaf kepada Bersih

Pengerusi NGO Malaysia Datuk Jamal Md Yunos menetapkan pendiriannya tidak akan membuat permohonan maaf kepada Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang memberikannya tempoh 48 jam berbuat demikian.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Jamal Md Yunos 1Pengerusi NGO Malaysia Datuk Jamal Md Yunos menetapkan pendiriannya tidak akan membuat permohonan maaf kepada Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang memberikannya tempoh 48 jam berbuat demikian.

Malah Jamal turut tidak gentar dengan tindakan undang-undang yang bakal diterimanya jika enggan memohon maaf dalam tempoh tersebut.

“Saya ingin ucap ribuan terima kasih kepada Maria Chin kerana beri amaran dan mengatakan saya perlu minta maaf 48 jam.

“Barulah sekarang ini dilihat beliau menyedari negara kita ini ada undang-undang, apabila mahu menyaman saya pula,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Jamal diminta mengulas laporan portal berita Malaysiakini semalam, melalui peguam Maria Melissa Sasidaran yang dipetik berkata, pihaknya akan menghantar surat tuntutan kepada Jamal supaya memohon maaf kepada Maria Chin dalam tempoh 48 jam atau berdepan saman.

Jamal yang juga Ketua Bahagian Umno Sungai Besar mendakwa, sebelum beliau bertindak membuat bantahan dan laporan polis terhadap Bersih 5, Maria Chin, ujarnya, tidak pernah menunjukkan bahawa negara ini mempunyai undang-undang.

“Apa sahaja Maria lakukan seolah negara tidak mempunyai undang-undang.

“Jadi bila beliau beri kata dua kepada saya ini menunjukkan beliau percaya negara kita ada undang-undang yang adil, saksama dan sama rata.

“Itu hak beliau nak saman ke tidak ke, saya ada hak saya. Apa yang saya buat ada asas dan kebenarannya, biarkan polis jalankan siasatan,” tegasnya.

Semalam Jamal memfailkan maklumat mengenai dakwaannya bahawa Bersih diserapi kumpulan IS dan Daesh yang merancang untuk mengepung lapangan terbang KLIA1,KLIA2 dan Putrajaya.

Jamal juga dalam sidang medianya berkata, antara pemberi  maklumat diperolehnya daripada Naib Pengerusi PKR, Rafizi Ramli tetapi Rafizi menafikannya dan menganggap Jamal sebagai ‘badut Umno’ dan mendakwa beliau tidak pernah sama sekali  mengenali secara peribadi dan bertemu dengan Jamal.

Ditanya tentang penafian Rafizi itu Jamal hanya berkata:”Rakyat Malaysia pun sudah lali dengan Rafizi nih…dulu dia pun pernah kata perihal cincin batu Rosmah yang berbilion ringgit tu.

“Tapi bila bercakap di mahkamah, dia kata dia cuma bergurau,” ujarnya.

 

TAGS