Turun Bersih 5 semarakkan Malaysia Baru

Turun Bersih 5 semarakkan Malaysia Baru

 

 Semarakkan semangat nasionalisme untuk pembentukan Malaysia baru yang merdeka daripada korupsi, salahguna kuasa, kezaliman dan penindasan dengan menyertai himpunan Bersih 5 esok, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Faiz Fadzil Semarakkan semangat nasionalisme untuk pembentukan Malaysia baru yang merdeka daripada korupsi, salahguna kuasa, kezaliman dan penindasan dengan menyertai himpunan Bersih 5 esok, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

Menurutnya, semangat nasionalisme iaitu cintakan negara yang terbukti mampu menggerakkan massa mengusir imperialisme perlu disemarakkan dalam diri setiap warganegara Malaysia.

“Terbukti kerana cintakan negara, jutaan rakyat Turki keluar ke jalan raya mematahkan kudeta. Semangat sebegini mampu menggerakkan jutaan rakyat Malaysia pula untuk turun ke Dataran Merdeka Sabtu ini sebagai tanda protes terhadap kebobrokan Umno-BN.

“Negara ini milik kita semua melangkaui sempadan agama dan bangsa. Ambillah semangat pejuang-pejuang nasionalis pada era kemerdekaan seperti Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestaman dan ramai lagi sebagai inspirasi semangat juang serta cintakan negara sebagai pemangkin jiwa dan raga kita untuk melakukan perubahan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakyat masih tidak dapat menikmati erti kemerdekaan sebenar apabila kepincangan politik, krisis kepimpinan, kegawatan ekonomi, salah urus tadbir, pencabulan hak asasi dan sistem demokrasi semakin meruncing dan genting di bawah pemerintahan Umno-BN.

“Skandal 1MDB yang menjadi perhatian dunia adalah kemuncak korupsi dan penyelewengan sang pemerintah Umno-BN. Hutang lebih RM50 bilion 1MDB ditanggung rakyat jelata sedangkan tiada faedah dapat dinikmati daripada syarikat milik rakyat ini.

“Tuduhan-tuduhan terhadap penyelewengan oleh MO1 yang juga Perdana Menteri walaupun disokong dengan bukti yang konkrit, gagal dinafikan. ‘Machai’ dan ‘pemakan dedak’ Perdana Menteri kini diam seribu bahasa kerana tidak mampu lagi membodohkan diri bagi menyelamatkan nama baik MO1 yang teruk tercedera,” ujarnya.

Sehubungan itu, Faiz berkata, rakyat tiada pilihan selain menuntut satu sistem dan amalan pilihan raya yang bersih, adil dan saksama kerana rakyat berkuasa untuk mengubah sistem pemerintahan yang korup dan zalim sedia ada.

“Anak muda harus bangkit mempertahankan hak dan kedaulatan negara ini daripada terus dicabuli dan diancam akibat salah urus pentadbiran kleptokrasi. Tegakkan keadilan demokrasi. Tolak pemerintah korupsi. Ayuh! Turun demontrasi,” tegasnya lagi.

TAGS