Ugutan Jamal pada Malaysiakini dikutuk pengamal media, hak asasi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Institut Wartawan Malaysia (IOJ) membidas amaran pemimpin ‘baju merah’ Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mahu memastikan sebahagian bangunan Malaysiakini di Petaling Jaya, runtuh hari ini.

Katanya, amaran itu satu bentuk bentuk ugutan.

“Wartawan mesti dibenarkan untuk melakukan kerja mereka tanpa sebarang ancaman, tindakan ganas atau ugutan.

“Meskipun pihak berkuasa mempunyai hak untuk menjalankan siasatan, adalah tidak boleh diterima pihak lain menggunakan peluang itu untuk mengganggu entiti media sementara siasatan dijalankan,” kata kumpulan wartawan itu dalam satu kenyataan semalam.

Jamal keluar dari pejabat Malaysiakini disambut oleh penyokongKelmarin, Jamal bersama-sama dengan kira-kira 100 penyokong baju merah hadir di pejabat portal berita bebas itu di Petaling Jaya.

Beliau kemudian menuntut supaya Malaysiakini mendedahkan penyata kewangan dan dokumen berkaitan sebelum tengah hari Sabtu ini atau berdepan dengan jumlah peserta protes lebih ramai.

Jamal yang juga adalah ketua Umno Bahagian Sungai Besar memberi amaran sebahagian bangunan Malaysiakini akan runtuh esok jika dakwaan portal ini menerima dana hartawan George Soros tidak diperjelas.

IOJ juga mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan “undang-undang anti-keganasan” terhadap Malaysiakini, berhubung laporan portal berita itu menerima pembiayaan daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan oleh Soros.

Malaysiakini disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas tuduhan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Penggunaan undang-undang anti-keganasan terhadap sebuah syarikat media adalah sesuatu yang membimbangkan, dan boleh dilihat taktik kotor dalam percubaan untuk menutup mulut mereka yang berbeza pendapat,” kata IOJ.

Menurut badan itu menerima dana asing tidak boleh dianggap sebagai satu salah laku.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran dan Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan, masing-masing sebelum ini menafikan dakwaan dana yang diperuntukkan itu bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Premesh dan Gan berkata Malaysiakini adalah sebuah organisasi berita yang bertujuan untuk memastikan mereka yang memegang jawatan bertanggungjawab kepada rakyat.

Penjelasan terperinci berhubung perkara itu telah disediakan, manakala OSF juga menafikan bahawa ia didorong oleh agenda untuk menjatuhkan kerajaan.

Premesh juga telah menjelaskan bahawa geran berkenaan berkaitan KiniTV telah digunakan untuk menghasilkan program program Realiti Sarawak dan Sekilas Bumi Kenyalang.

“Pemberian geran berkenaan adalah untuk menyokong KiniTV menghasilkan lebih banyak buletin dan berita di Sarawak, yang sukar dilakukan oleh Malaysiakini, memandangkan kos yang tinggi dan kesukaran ke negeri itu,” katanya.

NUJ: Ugutan jenayah

Sementara itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) pula menggesa polis menyiasat kumpulan Baju Merah bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.

“NUJ Malaysia terkejut mendengar ancaman ini terutamanya dalam sebuah negara demokratik seperti Malaysia.

“Undang-undang negeri jelas menyebut tiada siapa, kumpulan atau pertubuhan boleh meletakkan undang-undang di tangan sendiri, terutamanya kepada pengamal media yang berperang kepada kod etika kewartawanan,” katanya.

Amnesty: Kebebasan ditekan

Turut mengecam tindakan kumpulan itu ialah kumpulan hak asasi manusia antarabangsa Amnesty International.

“Setiap orang ada hak berhimpun, tetapi apa yang Baju Merah ugut adalah keganasan.

“Mereka ada hak bersuara tetapi tidak boleh guna ugutan dan keganasan untuk menafikan hak wartawan yang sama,” kata Josef Benedict, timbalan pengarah Amnesty International untuk Asia Tenggara dan Pasifik.

“Ancaman terhadap Malaysiakini adalah contoh terkini bagaimana kebebasan bersuara sedang ditekan di negara ini,” katanya.

TAGS