Ugutan bunuh ala IS: KPN perlu bertindak segera, kata Mat Sabu

Ugutan bunuh ala IS: KPN perlu bertindak segera, kata Mat Sabu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak bersikap sambil lewa terhadap ugutan bunuh ala IS terhadap Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah.

Beliau berkata, ugutan bunuh tersebut jelas membahayakan dan menggambarkan pelakunya diresapi fahaman IS dan perlu dibendung dari awal.

“Kita menjunjung demokrasi berpelambagaan. Ugutan ini adalah satu perkara yang serius. Saya harap ketua polis negara jangan main-main lagi soal ini. Ini masalah keselamatan negara dan rakyat.

“Ini bukan soal parti politik, mana-mana NGO tapi soal keselamatan negara dan rakyat,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis (IPD) Petaling Jaya petang semalam.

Sebelum itu,Maria Chin, bekas pengerusi Bersih Datuk S Ambiga dan pegawai urus setia Bersih Mandeep Singh membuat laporan polis berhubung ancaman bunuh yang diterima melalui nombor telefon yang tidak dikenali.

Maria Chin membuat laporan tersebut kerana bimbang akan keselamatan keluarganya.

Menurut kenyataan Bersih, antara ancaman yang diterima oleh Maria berbunyi: “Demi Allah dan kesucian perjuangan Islam di Malaysia, kalau ko nak hilang kepala macam kat Syria, teruskan keje bodoh tu. Aku potong kepala ko aku rakam dan akan aku sebar dalam u tube…aku kenal sape ko, aku tau kat mana kau tinggal dan aku jugak tau sape family dan anak-anak ko…”.

Sementara itu Mohamad mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan fahaman IS yang menghalalkan darah orang lain atas nama agama seperti yang berlaku di Iraq, Syiria, Libya, Mesir dan Afghanistan.

“Jangan sekali-kali unsur-unsur takfiri iaitu pandangan yang halal membunuh orang lain seperti yang berlaku di Iraq, Syria, Yaman, Mesir, Libya Afghanistan.

“Jangan sekali-kali diizinkan berkembang di Malaysia. Kalau negara kita terjerumus seperti yang berlaku di Libya langkah nak mengubah mengambil masa belasan tahun,” tegasnya.

TAGS