Ulama Pas dakwa Zairil tak faham hukum Islam

Ulama Pas dakwa Zairil tak faham hukum Islam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Malaysia Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mendakwa ahli parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari tidak memahami hukum Islam.

Justeru beliau berkata, pandangan Zairil yang menolak pandangan agama Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria tidak perlu dilayan.

Kelmarin, Harussani menggesa setiap ahli parlimen beragama Islam daripada Pas, Umno dan PKR memberi sokongan penuh kepada pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 yang akan dibentangkan di sidang Dewan Rakyat.

Zairil seperti dilaporkan Free Malaysia Today berkata pandangan Harussani itu bukan muktamad berhubung perkara itu.

“Ada mufti lain yang berpandangan lain. Harussani ada hak untuk menyuarakan pendapatnya, tetapi ia tidak mengikat sesiapa,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Khairuddin berkata, beliau mengalu-alukan sokongan Harussani terhadap usaha meminda Akta 355 kerana ia merupakan tanggungjawab beragama kepada semua ahli Parlimen muslim yang memahami Islam.

“Maka menjadi kewajipan kepada ahli parlimen Islam untuk mengubah dan meminda akta 355 kepada teks sebagaimana dicadangkan oleh ahli parlimen Marang iaitu “Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman menurut undang-undang Syariah”.

”Pandangan Zairil yang menolak pandangan agama yang dikeluarkan oleh Mufti Perak usah dilayan kerana dia tidak memahami hukum Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Akta 355 sedia ada tidak memberikan hak yang sebenar kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman kepada tiga kesalahan jenayah iaitu jenayah minum minuman memabukkan, jenayah menuduh orang Islam berzina tanpa bukti dan jenayah persetubuhan haram.

”Akta 355 menetapkan hukumannya ialah maksima tiga tahun penjara atau lima ribu ringgit denda atau sebat enam sebatan. Sedangkan ketiga-tiga kesalahan itu hukumannya dalam Islam ialah dirotan dengan rotan kecil yang tidak melukakan kulit apatah lagi isi.

“Adapun sebat yang diamalkan oleh Mahkamah Sivil yang menyakitkan dan melukakan kulit serta isi adalah bercanggah dengan Islam,” katanya.

TAGS