Ular tidak patuk tiga kali di tempat sama hilang bisanya, kias Ahmad Zahid

Ular tidak patuk tiga kali di tempat sama hilang bisanya, kias Ahmad Zahid

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara berkias membidas tindakan bekas pemimpin dan ahli Umno yang bertindak merosakkan parti dari  dalam  ketika  berucap di Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Umno Cawangan Seluruh Negeri Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia pada Ahad.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sesuatu yang melucukan dibualkan oleh dua  Naib Presiden Umno Hishamuddin (kiri) dan Ahmad Zahid. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara berkias membidas tindakan bekas pemimpin dan ahli Umno yang bertindak merosakkan parti dari  dalam ketika  berucap di Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Umno Cawangan Seluruh Negeri Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia pada Ahad.

Walaupun beliau melontarkan pandangannya secara berkias, sebaliknya hadirin, media  dan di kalangan ahli Umno memaklumi kata-kata itu ditujukan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan berkiasnya Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata:

“Ada ahli Umno tidak dibuang tapi mengisytiharkan dirinya keluar Umno masih campur hal ehwal Umno, mungkin orang itu gila talak, mungkin orang itu merasakan tidak ada kepedulian dalam Umno dan keluar Umno.

“Dia tulis surat ke cawangan-cawangan supaya bersama dengan gerakan yang dianjurkan olehnya.

“Kita ada 21,000 ketua cawangan seluruh negara. Saya minta ketua-ketua cawangan Selangor jangan ambil pedulilah…ibarat kitab dah buruk dah letak kat atas tak boleh baca dah… kita hormat kitab lama, kita letak di atas tapi jangan dibaca kisahnya, kisah lama nostalgianya, nostalgia lama.

“Kita mahu melangkah ke hadapan kita tinggalkanlah itu sebagai sejarah…sejarah yang pernah minta ayahanda Datuk Seri Hisham (Allahyarham Tun Hussein Onn) meletakkan jawatan, bukan mahu menyebut dan menuduh, tapi boleh lihat minit-minit dalam mesyuarat, walaupun baru Tun Hussein memegang jawatan dalam parti dan jawatan Pak Lah juga, takan kita tak ingat! Sekali lagi akan berlaku kononnya Datuk Seri Najib pula.

“Ular jangan patuk dua tiga kali di tempat yang sama, ular hanya akan patuk sekali sahaja.

“Insyaallah patukkan yang ketiga, bukan nak riak atau takbur kita minta patukkan yang ketiga ini tidak ada bisanya.

“Kita mahu di akar umbi institusi kepimpinan ini dikekalkan sebagaimana beliau mahu institusi itu dikekalkan sewaktu zaman beliau.

”Saya tidak sebut nama, siapa makan cili… tetapi soal yang ingin saya timbulkan kenapa zaman orang itu dulu, kitalah yang dipecahkan menjadi team A dan team B, zaman itulah Umno diharamkan dan zaman itulah kita yang mendaftarkan parti dan mencari ahli dalam Umno baru yang ditubuhkan,” ujar Ahmad Zahid.

Barisan utama kepimpinan negeri dan pusat dari kiri Timbalan Pengerusi Perhubungan Datuk Mat Nazari Ahmad Dahlan, Naib Presiden  Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan Negeri Datuk Noh OmarUmno-BN bukan lagi tuan di Selangor

Ujar Ahmad Zahid lagi selama dua penggal Umno-BN tidak lagi jadi tuan di negeri Selangor, amat perlu Umno menyusun strategi untuk bergerak dengan mengenepikan perbalahan sesama sendiri.

“Kita jadi pembangkang di Selangor. Dulu kita menentukan dasar sekarang kita hanya pembuat ‘rubber stamp’ tidak boleh buat apa-apa kerana suara terlalu kecil, apa pilihan yang kita ada. Umno-BN bukan lagi tuan di Selangor,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menekankan agar Umno menghidupkan kembali perang saraf dan perang saikologi.

“Kali ini perang saraf dan perang saikologi adalah strategi di Selangor yang harus dihidupkan semula.

“Jangan serang kawan-kawan dari dalam, jangan cucuk kawan-kawan dari dalam , jangan tikam kawan-kawan dari belakang, jangan jadi racun dalam rumah, jangan bakar rumah sendiri.

“ Faktor yang menyebabkan kekalahan dan hakisan pengaruh Umno-BN kerana kita bertahan. Kita hendaklah menyerang musuh politik dari luar yang melemahkan kita.

“Masalah kita bukan kerana musuh kuat tetapi kita yang lemah. Realiti yang harus kita hadapi ialah selesaikan permasalah sesama kita, wujudkan perpaduan untuk merampas semula negeri Selangor,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata ahli Umno perlu menerima hakikat bahawa tidak ada sebuah parti yang diwujudkan tidak dicabar, tetapi perkara itu perlu dianggap sebagai petanda yang baik.

“Tidak ada sebuah parti yang tidak dicabar. Dulu kita ada pakatan pembangkang jadi pula Pakatan Harapan dan kini ada satu lagi pakatan lain (Pas-Ikatan)… bagus itu petanda baik untuk kita.

“ Kita kena bersama jangan harap ada pilihan ketiga (blok politik ketiga) tetapi kita (Umno) tiada pilihan untuk bergerak,” ujarnya di hadapan 5,000 ahli peringkat cawangan dan bahagian.

Turut hadir dalam perasmian serentak ini Naib Presiden Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, Pengerusi Perhubungan Negeri Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan Datuk Mat Nazari Ahmad Dahlan, Ketua Penerangan Datuk Zein Isma Ismail, Ketua-ketua sayap di peringkat bahagian dan cawangan serta ahli akar umbi di Selangor.

TAGS