Umat Islam perlu betulkan umatnya yang silap, kata Raja Muda Perlis

Umat Islam perlu betulkan umatnya yang silap, kata Raja Muda Perlis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah umat Islam sendiri bertanggungjawab membetulkan  umatnya yang mengamalkan ciri-ciri bertentangan ajaran Islam.

Menurut baginda persoalan yang sering dikemukakan seperti punca umat Islam mundur dan kemunculan kumpulan-kumpulan yang mendakwa sebagai Islam tetapi mengganas dan mempamerkan ciri-ciri berlawanan dengan ajaran Rasulullah SAW seharusnya mencabar masyarakat Islam hari ini.

“Masyarakat Islam harus rasa tercabar untuk mendidik pengikutnya serta membetulkan persepsi bukan Islam terhadapnya bagi membuktikan bahawa Islam adalah penyelesai kepada segala permasalahan di dunia ini,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian semasa merasmikan Seminar Warisan Nabawi (SWAN) 2016 selama dua hari sehingga esok di Universiti Fatoni  semalam.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Seminar anjuran bersama Universiti Fatoni, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), membincangkan beberapa kertas kerja yang dibentangkan wakil ketiga-tiga universiti terbabit.

Justeru, segala isu dan persoalan harus diperbahaskan, dimuhasabah, dimesyuwarah, diperhalusi dan diteliti oleh intelektual Islam dalam pelbagai forum supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Islam khasnya, titah baginda.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin SWAN yang bertemakan ‘Toleransi Nabawi Dalam Kepelbagaian Bangsa’ diadakan bertepatan dengan situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini.

“Kita harus sedar agama Islam yang dibawa Rasulullah SAW sudah sempurna dalam semua aspek kehidupan manusia namun kesejahteraan yang diimpikan menjadi pincang kerana umat Islam digambarkan penuh dengan keganasan dan kucar-kacir.

“Contohnya, situasi yang diperlihatkan hanyalah keadaan umat Islam di Syria dan Libya yang tidak mewakili kehidupan sebenar masyarakat Islam,” titah baginda.

TAGS