Umat Islam perlu bersatu tanda solidariti kepada masyarakat Rohingya

Umat Islam perlu bersatu tanda solidariti kepada masyarakat Rohingya

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak umat Islam seluruh dunia bersatu sebagai tanda solidariti atas penderitaan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.

Titah baginda, pelbagai kisah duka didengari saban hari, menggamit hati setiap umat Islam untuk sama-sama merasai penderitaan yang sedang mereka alami dan semua pihak perlu sama-sama membantu menangani isu Rohingya.

“Isu pembantaian dan penghapusan etnik ini merupakan isu kemanusiaan sejagat yang serius dan tidak terbatas oleh sempadan agama, bangsa, warna kulit bahkan merentasi sempadan negara itu sendiri,\” titah baginda.

Raja Muda bertitah demikian sempena Program Kembara Bermotor MIDF-MAIPs 2017 di Surau Rumah Kanak-Kanak Arau di sini malam tadi di bawah anjuran bersama Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Berhad dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sebelum itu baginda selaku Yang Dipertua MAIPs dan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd Najib Abdullah serta rombongan MAIPs Peduli Khas Bersama MIDF berkonvoi

motosikal ke Kampung Bongor Kudong berhampiran memberi sumbangan makanan kepada 50 asnaf di surau kampung tersebut.

{loadposition myposition} Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Khairi Hassan, Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Dr Hazman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Raja Muda bertitah, sebagai mewakili sebahagian umat Islam di Malaysia dan di Perlis khususnya, MAIPs pernah menyampaikan sumbangan wakaf berupa 10 telaga untuk manfaat umat Islam di Wilayah Rakhine, Myanmar melalui sebuah badan bukan kerajaan (NGO),’Muslim Serantau.

Di samping itu MAIPs juga turut memberi sumbangan 200 paket makanan bagi mengurangkan beban yang dialami oleh para penduduk di wilayah terbabit.

Titah baginda, program terkini, MAIPs sedang membuat perancangan untuk bekerjasama dengan perwakilan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi tujuan pelaksanaan kemanusiaan di wilayah itu sesuai dengan dasar OIC untuk membantu umat Islam sedunia tanpa mencampuri urusan politik dalaman sesebuah negara.

Titah baginda, pendekatan kerjasama tersebut dilihat amat signifikan kepada usaha solidariti umat Islam sedunia bersama masyarakat Rohingya.

\”Selain itu MAIPs juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk menawarkan biasiswa pendidikan kepada 10 pelajar Rohingya yang berkelayakan bagi melanjutkan pelajaran mereka di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs),” titah Raja Muda.

CATEGORIES
TAGS