Umno BN perlu sedia ‘ditalak tiga’, kata Khalid

Umno BN perlu sedia ‘ditalak tiga’, kata Khalid


Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, Umno BN perlu bersedia 'ditalak tiga' oleh rakyat khususnya pengundi di parlimen itu.

Beliau berkata, kekecohan di forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam Ahad lalu akan menyebabkan warga Shah Alam semakin meluat dengan politik Umno BN.

“”Najib telah datang ke Shah Alam seminggu sebelum ini. Beliau menyatakan kalau BN nak menang kembali Selangor, kena menang di Shah Alam. Beliau turut sebut sudah dua kali BN ditolak di Shah Alam. Kalau ditolak lagi bagaikan ‘ditalak tiga’.

“Saya rasa sudah tiba masa BN bersedia untuk ditalak tiga. Peristiwa serangan terhadap Tun Mahathir akan hanya menyebabkan warga Shah Alam semakin meluat dengan politik Umno BN.

“Malahan saya yakin, bukan sekadar Umno BN akan ditolak oleh warga Shah Alam dan rakyat Selangor malah akan terusir dari Putrajaya juga,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di forum Nothing To Hide 2.0 anjura Pemuda Bersatu (Armada).

Kekecohan berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab beberapa soalan peserta.

Bekas presiden Umno itu cuba diserang menggunakan selipar, bangku dan botol minuman ketika menyampaikan penjelasannya.

Penganjur mendakwa kekecohan itu berpunca daripada pihak tertentu yang ada kaitan dengan Umno, namun parti terbabit menafikan hal itu.

Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa pihak yang mula-mula mencetuskan kekecohan itu diberikan baju pergerakan berkenaan untuk menyelinap ke majlis itu untuk mencederakan Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH mendakwa kekecohan itu sudah dirancang awal bagi memalukan memalukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengganggu majlisnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pihak yang merancang itu mahu mencederakan bekas perdana menteri itu.

“Peristiwa sedemikian amat dikesali. Ia dilakukan tanpa apa-apa provokasi sambil Tun menjawab soalan secara tenang dan rasional.

“Kalau tak setuju dengan jawapannya sekalipun ianya bukan alasan untuk mengganas,” katanya.

Justeru, katanya beliau mewakili masyarakat Shah Alam mengutuk sekeras-kerasnya politik ganas itu dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

“Politik sebegini mesti dikutuk dan ditolak. Corak politik sebegini tiada tempat di negara yang bertamadun. Ia tindakan desperado oleh pihak yang semakin ditolak masyarakat.

“Sebagai Ahli Parlimen Shah Alam saya ingin mewakili warga Shah Alam dalam mengutuk sekeras-kerasnya politik yang tidak bertamadun ini. Saya yakin tiada yang waras di Shah Alam yang merestuinya,” tegasnya.

TAGS