Umno boleh buat Mara terkubur, kata PKR

Umno boleh buat Mara terkubur, kata PKR

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus wujud selagi Umno kekal berkuasa dan akan terkubur jika parti itu tidak lagi memegang tampuk kuasa adalah kenyataan terdesak untuk meraih sokongan orang Melayu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Syed Ibrahim Syed Noh

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus wujud selagi Umno kekal berkuasa dan akan terkubur jika parti itu tidak lagi memegang tampuk kuasa adalah kenyataan terdesak untuk meraih sokongan orang Melayu.

Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Umno masih terperangkap dalam strategi lama menakut-nakutkan orang Melayu dan menuduh pihak lain mengkhianati Melayu sambil mendakwa parti itu satu-satunya institusi yang melindungi Melayu.

“Apakah dakwaan Datuk Seri Najib itu benar? Benarkah Mara dan Melayu Bumiputera akan terkubur tanpa Umno?

“Sebenarnya tiada sesiapa pun sama ada pembangkang atau pihak lain mahu menguburkan Mara atau Melayu. Tiada sesiapa yang merancang menutup Mara,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sebaliknya Syed Ibrahim menegaskan, Mara perlu dipulihkan bagi memenuhi matlamat sebenar dengan dasar dan polisi yang adil dan telus bagi membantu rakyat khususnya Bumiputera yang benar-benar memerlukan dalam memenuhi objektif Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 153 memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

“Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan perlu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan,” jelas beliau.

Syed Ibrahim menambah, Perjanjian Pakatan Harapan di bawah ‘Fasal 4: Dasar-dasar Bersama’ dengan jelas menyebutkan ketiga-tiga parti (PKR, DAP dan Amanah) bermuafakat dalam melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Sebaliknya beliau meragui komitmen Umno sebagai parti teras BN untuk meningkatkan taraf sosioekonomi orang Melayu dan Bumiputera menerusi Mara apabila mutakhir ini biasiswa dan pinjaman pendidikan Mara dipotong.

“Peruntukan pembiayaan pendidikan dipotong dalam Bajet 2016 yang juga turut melibatkan peruntukan Mara sehingga mengakibatkan masalah pembiayaan kepada pelajar biayaan Mara,” katanya.

Malah katanya, penyelewengan pengurusan pembelian hartanah oleh Mara sehingga mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit turut didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan National Oversight and Whistleblowers (Now).

“Siapa yang menguburkan Melayu dan Bumiputera? Siapa yang pincang dalam menjaga kebajikan dan peningkatan sosioekonomi anak-anak Melayu dan Bumiputera? Orang Melayu tidak malas, boros atau tiada kelulusan tinggi. Pemimpin Umno-BN yang wajib bertanggungjawab dan dipersoalkan amanah mereka,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa kaum Melayu dan Bumiputera tidak akan terkubur walaupun Umno terkubur angkara pemimpin yang bobrok.

“Datuk Seri Najib perlu bertanggungjawab di atas kegagalan ini. Beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang menyebabkan kehancuran Umno dan negara jika tidak berundur,” katanya.

TAGS