Umno faraid tanah Pulau Pinang untuk kroni, dakwa bekas exco

Umno faraid tanah Pulau Pinang untuk kroni, dakwa bekas exco

Terdapat banyak tanah yang telah difaraidkan sesama pimpinan Umno sehinggakan mereka mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh orang Melayu kepada mereka, kata Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Shariff Omar.

Beliau berkata, kegagalan pimpinan Umno untuk membela nasib orang Melayu amat terserlah dengan pelbagai ketirisan termasuklah penyelewengan tanah dan seumpamanya.

“Saya pernah menjadi exco kerajaan negeri pada tahun 1982, tetapi kita membela nasib orang Melayu ketika itu.

“Namun begitu kini terlalu ramai pimpinan Umno lebih mengutamakan kekayaan dan memfaraidkan tanah-tanah yang ada untuk kroni dan suku-sakat mereka.

“PERDA atau Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 1983 semasa saya menjadi exco lagi bagi membangunkan kawasan luar bandar yang menjadi tumpuan orang Melayu, tetapi kini ianya sudah terbalik, ” katanya pada program Bicara Rakyat di Teluk Air tawar, kelmarin.

Malah katanya, lebih mengecewakan apabila terdapat tanah-tanah tersebut yang telah diagih-agihkan kepada pimpinan Umno.

“Begitu juga dengan JKP (Jawatankuasa Penyertaan Bumiputera) Pulau Pinang yang ditubuhkan untuk membantu orang Melayu semasa Umno memerintah dulu.

“Tapi kini banyak tanah-tanah organisasi ini juga telah diagihkan kepada pimpinan Umno termasuk di kalangan pimpinan pemuda.

“Apa dah jadi dengan tanah di Seberang Jaya berdekatan dengan ‘Carrefour’ dulu, jika bukan untuk pemimpin Umno menjadi kaya raya, ” tanya beliau lagi.

Beliau yang juga merupakan mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang turut berkata, terdapat tanah milik JKP di Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara yang sepatutnya dibangunkan untuk orang Melayu mengalami kerugian.

“Projek perumahan usaha mereka terbengkalai berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Teluk AIr Tawar.

“Puncanya kerana memberikan projek perumahan tersebut kepada pimpinan Umno yang tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Akhirnya projek tak jadi, orang Melayu menjadi mangsa kerana mengharapkan projek yang tidak kesampaian bikinan tangan-tangan pimpinan Umno di negeri ini, ” tambahnya lagi.

Tegasnya lagi, orang Melayu kini seharusnya membuat perubahan setelah melihat bagaimana kerajaan Pulau Pinang mentadbir dengan pelbagai program kebajikan untuk rakyat selepas menang dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu.

“Banyak program kebajikan untuk rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang kini tidak pernah dilakukan oleh Umno dan BN semasa memerintah dulu.

“Sebagai bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, exco kerajaan negeri dan juga Timbalan Ketua Menteri, apa yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang kini lebih baik dari apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan BN dulu.

“Oleh kerana itu orang Melayu mesti bangkit dan buatlah perubahan dengan menolak Umno dan BN bukan saja di Pulau Pinang, tetapi juga di peringkat Persekutuan dalam pilihan raya umum yang akan datang, ” katanya lagi.

 

TAGS