Umno hilang maruah untuk mentadbir negara

Umno hilang maruah untuk mentadbir negara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

1. Justeru kerana mengizinkan, bukan sahaja parti dan barisan politik mereka, bahkan juga wibawa dan nama-baik negara terus dirobek, Umno-BN sesungguhnya telah hilang kredibiliti dan maruah untuk mentadbir negara ini.

2. Setelah pendedahan paling dahsyat yang dilakukan dalam masa 48 jam yang lalu, bersabitan pelbagai skandal 1MDB dan kebejatan yang amat mengaibkan rakyat dan negara, olih media Four Corners dan Wall Street Journal, PM Najib Razak telah hancur wibawa dan maruahnya untuk meneruskan pentadbirannya, jauh lagi kalau berkeinginan untuk memimpin Umno-BN dalam PRU Ke-14 nanti.

3. Buat ingatan Umno dan BN, amat mustahak supaya segera menginsafi bahawa Najib bukan sekadar telah menjadi musuh utama buat dirinya sendiri bahkan kepada Umno-BN serta negara seluruhnya.

4. Amat malang dan sangat mengecewakan buat rakyat dan negara, apabila Umno kelihatan sunyi seribu bahasa, terus bersahaja dan tidak langsung menunjukkan keseriusan untuk menangani penghakisan wibawa dan impak buruk buat maruah negara.

5. Dengan pendedahan terkini yang sama-sama ditontoni semua, Umno-BN seharusnya sedia memaklumi bahawa skandal serta expose’ seperti ini di negara-negara lain, pasti telah berakhir dengan pemimpin terbabit mengundur diri bahkan diambil tindakan olih parti dan badan penguasa serta pemerintah.

6. Sebaliknya Najib disaksikan rakyat dan dunia, semakin bertambah kuat dan lebih ganas, sekaligus mencetuskan satu ‘suasana-iklim ketakutan’ atau ‘state of fear’, yang menyelubungi rakyat dan negara.

7. Justeru kerana terus mahu melindungi Najib, samada kerana takut atau dalam ilusi bahawa beliau tidak melakukan apa jua kesalahan, maka Umno perlu dihukum rakyat kerana sikap ringan dan culas ini.

8. Umno dan BN, jelasnya telah membuktikan kepada semua rakyat, bahawa mereka sanggup mengorbankan kemaslahatan rakyat dan kewibawaan negara, apabila berlaku pertembungan kepentingan parti dan survival politik mereka.

9. Tegasnya, disebalik segala pertunjukan dan simbolisme patriotisme akan tanah air yang diperagakan pada setiap sambutan ulang tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Umno-BN, dengan ini telah memaparkan identiti dan hipokrasi mereka sebenarnya.

10. Justeru rakyat wajar faham dan insaf, bahawa Umno-BN tidak langsung bolih diletakkan harapan untuk mempertahankan wibawa dan maruah negara, kerana patriotisme mereka kepada negara, tidak boleh di atasi oleh kepentingan kepartaian sempit perjuangan politik mereka.

Amat malang buat rakyat dan negara!

 

TAGS