Umno Nilai buat laporan polis terhadap Bersih 5

Umno Nilai buat laporan polis terhadap Bersih 5

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekumpulan 25 individu hari ini membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan Bersih 5 yang dijadual diadakan di Mantin pada 12 November ini.

Pengerusi penyelaras Barisan Nasional (BN) DUN Nilai Ghani Daud yang mengetuai kumpulan itu berkata laporan itu dibuat berikutan bimbang timbul kekecohan dan perkara yang tidak diingini, jika perhimpunan itu dibenarkan.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Mantin hari ini.

“Sudah empat kali (perhimpunan) Bersih dah dibuat dan tiada apa-apa juga kebaikannya, malah lebih banyak keburukan. Justeru saya mewakili 25 orang yang terdiri daripada ahli UMNO dan pengerusi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) membantah sekeras-kerasnya program itu,” katanya kepada Bernama.

Ghani berkata pihaknya amat berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memberi kebenaran kepada penganjur perhimpunan itu berbuat demikian bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

TAGS