Umno Selangor dakwa JAIS dianaktirikan Kerajaan Negeri?

Umno Selangor dakwa JAIS dianaktirikan Kerajaan Negeri?

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail mendakwa, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah dianaktirikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berdasarkan aduan dan rungutan yang beliau terima daripada kakitangan jabatan agama
itu sendiri.

Menurut Zein, ada beberapa peraturan yang dibuat oleh kerajaan negeri termasuk memotong elaun dan kerja lebih masa yang tidak dibayar, sebaliknya digantikan dengan cuti yang menimbulkan kegelisahan di kalangan pekerja di pejabat agama.

“Saya sendiri mendengar rungutan dan aduan oleh beberapa kakitangan jabatan agama Islam Selangor yang ternyata agak ralat dengan tindakan kerajaan memotong peruntukan bagi pejabat agama sehingga menyukarkan mereka untuk melaksanakan tugas-tugas mereka.

“Bahkan hari ini tiada lagi bayaran kerja lebih masa, terutama bagi penguatkuasa yang membenteras maksiat yang bertugas melebihi masa sehingga ke malam hari, sebaliknya hanya diberikan cuti sebagai ganti.

“Begitu juga dengan sikap kerajaan negeri yang acuh tidak acuh dengan sebarang cadangan dan usaha penambaikan pejabat agama,”ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Mengulas lebih lanjut tentang perkara ini, Zein yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Subang, turut mendedahkan bahawa lebih 6,900 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang dijanjikan akan diserap ke jawatan tetap kini masih ternanti-nanti janji kerajaan negeri.

“Yang lebih membimbangkan apabila kuasa politik mencengkam pelaksanaan agama apabila ada beberapa fatwa mufti Kerajaan Negeri Selangor yang tidak diwartakan oleh kerajaan negeri, kerana bertentangan dengan dasar dan prinsip pentadbiran Azmin Ali.

“Bahkan masjid juga kini kembali dijadikan tempat berpolitik bukan sahaja dari sudut ceramahnya sahaja, malah pemilihan AJK Masjid juga sudah dicaturi oleh ‘tangan-tangan ghaib’ yang bermotifkan kepentingan politik,” ujarnya lagi.

Tambah Zein, inilah natijahnya apabila rakyat Selangor, khususnya umat Islam berada di bawah pemerintahan dan pentadbiran Pakatan Harapan.

“Apa guna kita ada Menteri Besar di kalangan orang Melayu, tetapi tidak dapat membela dan memberi sokongan terhadap usaha-usaha menegakkan syiar Islam yang dilakukan oleh jabatan Agama Islam negeri?

“Sebab itu saya menyeru orang Melayu dan umat Islam sedar, berada di bawah pentadbiran sebuah kerajaan yang dkuasai oleh DAP, syiar Islam tidak akan ke mana dan kita bimbang, ianya semakin layu di bumi Selangor,” katanya lagi.

Beliau menyeru umat Islam di Selangor untuk merenung kembali, selama Azmin menjadi Menteri Besar, apakah agenda Islam yang beliau jadikan sebagai dasar dalam pentadbiran beliau, soalnya.

“Isu kebenaran pesta arak itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa sebagai seorang pemimpin Islam, beliau sendiri tidak mampu untuk menghalang pesta tersebut di atas kapasitinya sebagai Menteri Besar,” ujarnya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS