Umno sudah jauh tersasar punca bekas Senator sertai Bersatu

Ahmad Husni (empat dari kiri) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas penyerahan borang ahli Bersatu di Perlis semalam.

Seorang bekas senator dari Perlis Ahmad Husni menyakini kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  mendorongnya meninggalkan Umno yang dilihat sudah lari dari landasan parti itu ditubuhkan.

Ahmad, 69, yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan selama 40 tahun itu semalam, menyerahkan borang keahlian parti kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat Bersatu Perlis.

“Saya mahu platform selain Umno, kerana Umno hari ini sudah jauh tersasar dan tidak boleh lagi berpatah balik.

“Saya mula merasakan parti itu makin jauh daripada landasan ketika saya jalankan tesis berkaitan sekuriti negara,” katanya dalam kenyataan dipetik.

Bekas senator 2006-2012 itu merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kangar, yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pertanian.

Menurut bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis (85-86) itu, walaupun menjadi ahli biasa Bersatu, beliau akan menegur kepimpinan parti itu sekiranya dilihat terpesong.

“Siapa yang tak betul, saya akan tegur untuk kepentingan rakyat dan negara. Saya tidak akan ikut pemimpin yang tidak bersih,” katanya.

Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) (2014-2016) itu berkata, keadaan negara kini amat menyedihkan susulan banyak perkara membelakangkan perlembagan persekutuan.

“Selepas saya sertai Bersatu, saya akan dedahkan kepincangan dalam negara dan menegur pimpinan agar mentadbir mengikut perundangan,” katanya.

CATEGORIES