Umno ‘tersedak’ bila Anwar-Mahathir bertemu, jangka hayat tidak lama

Umno ‘tersedak’ bila Anwar-Mahathir bertemu, jangka hayat tidak lama

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir baru-baru ini menyaksikan pemimpin Umno ‘tersedak’ memandangkan kedua-dua tokoh berkenaan menolak penguatkuasaan akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, mereka yang pernah menjadi ‘penjilat’ kedua-dua pemimpin tersebut menjadi sasaran serangan Umno pada masa ini.

“Hari ini dua insan ini sedang menyokong dan mendokong antara satu sama lain dalam menyekat penguatkuasaan akta MKN yang merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong melindungi rakyat dan negara serta memusatkan kuasa kepada MO1 Najib.

“Perbualan dan tindakan dua insan inilah yang menyebabkan pemimpin dan Umno tersedak. Tersedak adalah satu serangan mengejut dan boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbat,” ujarnya pada satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menganggap pertemuan Anwar dan Mahathir itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September lalu yang menyebabkan Umno ‘tersedak’ itu menunjukkan jangka hayat Umno tidak lama.

“Tun Mahathir terdesak untuk bela dan selamatkan rakyat serta negara dari cengkaman MO1 (Malaysia Official 1) tetapi Umno dan MO1 yang tersedak,” tambahnya lagi.

Sehari selepas pertemuan Anwar dan Mahathir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap babak berkenaan kononnya pertemuan politik terdesak dengan Mahathir  semata-mata mahu meraih sokongan daripada pihak pembangkang.

Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim pula menuduh pertemuan tersebut adalah sandiwara politik yang dilakonkan bagi mengaburi mata rakyat.

TAGS