Umno yang perlu terima kasih kepada Melayu, kata wakil Johor

Umno yang perlu terima kasih kepada Melayu, kata wakil Johor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Berbeza dengan presiden dan pemimpin Umno yang lain, wakil Umno Johor meminta Umno membuat tawaran baru untuk orang Melayu bukannya menuntut orang Melayu wala’ kepada Umno.

Datuk Ayub bin Rahmat, wakil Umno Johor dalam perbahasan usul Presiden Umno semalam berkata, Perhimpunan Agung Umno pada tahun ini mempunyai beberapa unsur yang menjadikannya amat signifikan dan kritikal.

Beliau menegaskan bahawa sebenarnya bukan orang Melayu yang terhutang budi dengan Umno. Umno yang terhutang budi dengan orang Melayu.

“Umno itu wujud kerana orang Melayu. Umno berjaya memimpin Malaysia kerana orang Melayu,” kata beliau dalam ucapan itu ketika semua perwakilan lain sibuk membodek Datuk Seri Najib Razak.

Beliau meminta pemimpin Umno jangan sesekali lupa, Umno tidak akan berada pada kedudukan kuasa sebegini lama jika tidak kerana orang Melayu.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk Umno berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia pada Umno.

“Malah sudah tiba masanya untuk Umno berhenti mengenang-ngenang apa yang telah Umno berikan kepada orang Melayu.

“Tetapi, telah tiba masanya Umno yang berterima kasih dengan sokongan orang melayu selama ini. Umno tidak boleh berjaya tanpa orang Melayu. Tidak, dan tidak sama sekali,” katanya.

Kerana itu, katanya, Umno Johor percaya, sudah sampai masanya, Umno tampil memperbaharui tawaran dan pemberiannya kepada orang Melayu.

“Umno perlu menawarkan naratif baharu. Menawarkan agenda baharu. Menawarkan keterujaaan dan harapan baharu kepada orang Melayu,” katanya.

Ini kerana, orang Melayu kini berhadapan dengan cabaran yang sangat luar biasa. Dampak gelombang globalisasi, kemodenan dan kecanggihan dunia digital.

Cabaran besar orang Melayu bukan lagi tentang hak dan ketuanan, katanya.

“Isu sebenar orang Melayu hari ini, adalah kesiapsiagaan dan kebolehsaingan untuk berfungsi dan berjaya dalam kehidupan abad ke-21.

“Dan bagaimana orang Melayu boleh hidup dengan sejahtera dan berjaya dalam persekitaran Malaysia yang semakin berubah ini.

“Inilah yang Umno harus perjuangkan untuk orang Melayu. Dan Umno mesti menjawab masalah sebenar orang Melayu abad ke 21 ini dengan baik.
Kerana Umno adalah kekuatan politik utama orang Melayu,” katanya.

TAGS