Undang-undang baharu sekat penganugerahan tidak diiktiraf bakal dibentang

Undang-undang baharu sekat penganugerahan tidak diiktiraf bakal dibentang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Undang-undang baharu bagi membendung aktiviti penyalahgunaan darjah kebesaran akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata undang-undang komprehensif itu akan memperincikan tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka yang menyalahgunaan darjah kebesaran melibatkan pemberian, penerimaan dan penggunaan.

“Cadangan undang-undang baharu itu telah dibentangkan pada mesyuarat pra-majlis Majlis Raja-Raja pada 16 Feb lepas dan dijangka dibentang semula untuk persetujuan majlis berkenaan sebelum dibawa ke Parlimen untuk kelulusan,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa).

Ahmad Fauzi meminta penjelasan mengenai tindakan yang dikenakan terhadap individu yang mengurniakan darjah kebesaran secara haram yang semakin berleluasa.

Azalina berkata penggubalan undang-undang tersebut memerlukan penelitian mendalam terutamanya jenis kesalahan dan hukuman bakal dikenakan sebelum ia dimuktamadkan.

“Sehubungan itu sementara undang-undang ini masih belum dimuktamadkan, orang ramai diingatkan untuk tidak terlibat dalam apa juga aktiviti termasuk memberi, menerima dan memakai darjah kebesaran yang meragukan.

“Sekiranya terdapat keraguan ke atas mana-mana penganugerahan dan kebesaran, orang ramai boleh merujuk kepada Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri untuk pengesahan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu), Azalina berkata penganugerahan hanya boleh diterima melalui Yang di-Pertuan Agong untuk penganugerahan peringkat persekutuan dan wilayah persekutuan, Sultan dan Yang Dipertua Negeri (negeri) selain daripada ketua negara yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

Menurutnya penganugerahan yang telah dikurniakan juga boleh ditarik balik atas budi bicara dan penilaian pemberi anugerah itu sekiranya penerima telah melakukan jenayah ataupun dipenjarakan.

Beliau berkata penganugerahan sesuatu darjah ataupun pangkat adalah atas justifikasi tertentu iaitu berdasarkan kepada mereka yang berjasa kepada masyarakat selain tidak terbabit dalam apa-apa kes jenayah dan salah guna kuasa.

Dalam pada itu Azalina juga berkata ketika ini mereka yang mengguna pangkat atau sebarang gelaran yang tidak diiktiraf kerajaan boleh didakwa mengikut Seksyen 416 dan 419 Kanun Keseksaan kerana menipu serta menyamar.

Orang ramai boleh melaporkan kepada polis jika ada pihak yang menggunakan gelaran atau pangkat yang tidak disahkan dan diiktiraf kerajaan.

Katanya setakat ini belum ada mana-mana pihak yang dikenakan tindakan atas kesalahan itu.

TAGS

COMMENTS