Undi mahasiswa mampu Selamatkan Malaysia

Undi mahasiswa mampu Selamatkan Malaysia

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dalam kerancakan semua parti politik berperang dengan isu-isu berat dan melibatkan kepentingan negara tanpa disedari terdapat dua maklumat besar yang harus diambil serius oleh pembangkang di Malaysia iaitu peratusan sokongan mahasiswa terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan jumlah mahasiswa yang masih belum mendaftar sebagai pemilih untuk pilihan raya akan datang.

Deklarasi Rakyat yang dilancarkan awal Mac lalu menjadi begitu sensasi dek kerana kesanggupan semua penentang Najib duduk bersama mencapai kata sepakat mahu Najib undur sebagai Perdana Menteri.

Dr. Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu antara yang menjadi perhatian apabila perseteruan berdekad lamanya antara Lim Kit Siang dan Mat Sabu terhadap Dr Mahathir padam melalui kesepakatan mereka dalam Deklarasi Rakyat.

Umum melihat seruan itu adalah menifestasi mereka yang mahu menyedarkan rakyat bahawa Najib sudah melepasi garis ‘kezaliman yang dibenarkan’ atau mungkin bagi Dr Mahathir beliau sudah hilang kelayakan untuk diberi amanah menjadi Perdana Menteri.

Hakikatnya, pilihan jalan demokrasi yang paling berkesan untuk menumbangkan keseluruhan pasukan Najib adalah melalui pilihanraya.

Semalam, sebuah pertubuhan anak muda yang dinamakan Challanger membuat dakwaan bahawa 90% mahasiswa tidak menyokong pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.

Tinjauan yang dibuat terhadap 5000 mahasiswa di bawah umur 30 tahun itu merupakan responden dari universiti seluruh negara.

Melalui jurucakapnya juga, Syed Saddiq mendedahkan 89% menganggap Najib adalah pemimpin yang tidak berintegriti.

Mendengar pendedahan kajian tersebut ia memperlihatkan seolah-olah sekiranya pilihan raya berlaku dalam masa terdekat, undi mahasiswa bakal memihak kepada parti-parti pembangkang.

Sebaliknya, pada hari ini, sebuah pertubuhan mahasiswa yang dikenali sebagai Kesatuan pula, mendakwa sebanyak 4.2 juta mahasiswa masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Angka ini begitu besar dan sememangnya mampu memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya terutamanya Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Sekiranya dilihat pada pilihan raya lalu, seramai 13,105,407 pemilih berdaftar layak mengundi. Pada PRU ke-14, menurut laporan yang sama seramai 17.7 juta layak untuk menjadi pemilih namun 4.2 juta daripadanya iaitu golongan mahasiswa belum mendaftar sebagai pemilih.

PRU 13 menunjukkan undi popular yang diperoleh Pakatan Rakyat melebihi BN sebanyak 386 285. Bilangan ini mungkin bertambah dan memberi kesan kepada bilangan kerusi yang dimenangi parti pembangkang pada PRU 14 nanti.

Berdasarkan kepada angka-angka tersebut, apakah sebanarnya nasib Malaysia, usaha Selamatkan Malaysia terletak di tangan mahasiswa?

Oleh itu, adalah sangat baik bagi semua pihak yang benar-benar mahu melihat perubahan dalam kepimpinan negara melancarkan kempen daftar sebagai pemilih di kalangan anak muda khususnya mahsiswa yang jelas melalui laporan yang didedahkan, BN boleh ditumbangkan melalui undi mahasiswa.

Maka usaha Kesatuan yang giat menjalankan usaha-usaha menyedarkan mahasiswa untuk mendaftar sebagai pemilih perlu diberi sokongan.

*Penulis Khairol Najib Hashim adalah Exco Pemuda Amanah Nasional

CATEGORIES