Unsur pluralisme akan dibatasi sebaiknya, kata  Jamil Khir

Unsur pluralisme akan dibatasi sebaiknya, kata Jamil Khir

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan sentiasa mengawal dan mencegah unsur-unsur pluralisme agama dalam negara supaya dapat dibatasi dengan sebaik-baiknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai usaha terancang bagi menggugat dan mencabar hak kebebasan yang dibenarkan oleh syariat Islam.

Katanya, ia bukan sahaja digerakkan oleh kelompok-kelompok tertentu dalam negara dengan kemudahan dan sokongan media baru, malah gerakan itu juga mendapat sokongan kelompok liberal antarabangsa.

“Bayangkan, gerakan mencabar keutuhan kesusilaan ajaran Islam ini dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran beberapa program yang mempromosikan budaya kebebasan melampau oleh kumpulan yang bertopengkan perjuangan hak asasi manusia dan anti-diskriminasi yang dipelopori pertubuhan bukan kerajaan tertentu.

“Ini khususnya melalui tekanan yang dikenakan terhadap negara kita untuk tunduk dan mengikut apa yang kononnya dikatakan sebagai “international standards and laws”.

“Ini bagi membenarkan amalan kebebasan manusia secara mutlak serta bertentangan dengan prinsip serta ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini, dan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Jamil Khir berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438H Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, semalam yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Sambutan kali ini bertemakan “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”, bertepatan dengan usaha kerajaan untuk menyatu padukan rakyat, bekerjasama serta saling menghormati dan menerima, yang menjadi asas kepada keharmonian sesebuah negara.

Jamil Khir berkata Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum lain kerana Islam telah mengatur prinsip-prinsip semua bidang kehidupan umat manusia termasuk konsep hubungan dengan penganut agama lain.

“Dalam soal memelihara keharmonian agama, umat Islam dan bukan Islam mempunyai peranan yang sama penting.

“Di pihak bukan Islam, sebarang tuntutan yang ingin diajukan perlulah munasabah dan rasional untuk mengelakkan apa jua pertembungan yang boleh merugikan semua pihak,” katanya.

TAGS