Usah menangguk di air keruh, pemimpin Umno pun tak hormati Raja-Raja Melayu

Raja Kamarul Bahrin Shah

Tindakan beberapa ahli dewan negeri (Adun) Umno Selangor menghantar memorandum sokongan kepada istana Selangor dalam kes penghinaan bangsa Bugis yang didakwa dilakukan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dianggap sebagai usaha ‘menangguk di air keruh’.

Ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (foto) mempertikaikan tindakan Adun-Adun Umno itu memandangkan para pemimpin parti itu sendiri tidak menghormati Raja-Raja Melayu dalam beberapa insiden sebelum ini.

“Keputusan Dewan Diraja Selangor membuat pendirian dalam isu ini adalah hak mereka dan harus di hormati oleh semua pihak. Tetapi tindakan Umno ingin mengambil kesempatan dan menangguk di air keruh adalah isu lain.

“Soalnya adakah Umno begitu setia dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada pihak Raja-Raja atau ini adalah kesempatan politik yang mereka ingin eksploitasi untuk kepentingan politik diri dan Datuk Seri Najib?” soal beliau.

Raja Bahrin mempersoalkan pendirian Umno khususnya Umno Selangor apabila perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengendah pandangan Majlis Raja-Raja Melayu yang meminta Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dihalusi dan dikaji semula.

Perkara ini, jelas beliau menyentuh hak Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat dan mempunyai implikasi serius kepada negara dan rakyat.

“Bukan itu sahaja, beberapa bulan sebelum isu MKN, Majlis Raja-Raja Melayu juga meminta Datuk Najib ‘menyelesaikan’ isu kontroversi 1MDB yang memburukkan nama negara dan sekali lagi tiada apa-apa tindakan diambil,” ujar beliau.

Raja Bahrin turut mempertikaikan taat setia pemimpin Umno kepada Raja-Raja Melayu apabila tiada sebarang kenyataan dibuat atau serahan memorandum ke istana bagi menyokong pandangan Raja-Raja Melayu berhubung dua isu berkenaan.

“Sebenarnya jika MKN digunakan oleh Datuk Najib untuk kekal terus berkuasa, Umno dan BNlah yang akan beruntung dan mempunyai kepentingan utama. Jelas di mana komitmen mereka sebenarnya akan berada di sini,” ujar beliau.

Raja Bahrin turut membangkitkan kenyataan kontroversi yang diungkapkan pemimpin Umno seperti “balik Tongsan” kepada kaum Cina, kenyataan presiden dan timbalan presiden Umno yang mengungkit jalur keturunan Tun Mahathir dan ahli Umno Terengganu yang menggunakan perkataan “natang” (binatang) terhadap Istana Terengganu semasa isu perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas PRU 2008.

“Di Selangor pula insiden ‘kepala lembu’ telah mengguris perasaan orang India dan Hindu,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyifatkan pemimpin parti itu sebenarnya menumpahkan taat setia kepada Najib dan bukannya Raja-Raja Melayu apabila saranan Majlis Raja-Raja Melayu sebelum ini tidak diendahkan langsung oleh para pemimpin parti Melayu itu.

“Kata-kata yang terus bergema di dalam kepala mereka adalah ‘kata-kata keramat’ Datuk Seri Najib iaitu ‘cash is king’ (wang itu raja),” ujarnya sinis.

8.7
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 9.5
CATEGORIES
TAGS