Usaha guling Mukhriz belum nampakkan hasil

Usaha guling Mukhriz belum nampakkan hasil

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri dan Umno Kedah diingatkan supaya tidak mengheret sultan dan rakyat negeri itu dalam kemelut politik penggantian Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata usaha untuk menggulingkan Mukhriz masih belum menampakkan hasil walaupun telah memasuki hari kelima sejak pengumuman hilang keyakinan oleh pimpinan Umno.

Menurutnya, laporan sesetengah media arus perdana yang cuba memberikan gambaran seolah-olah tuntutan menyingkirkan Mukhriz kononnya daripada rakyat bertujuan untuk memberi tekanan kepada pihak sultan bagi tujuan berkenaan.

“Tindakan ini suatu perbuatan jahat mengheret tuanku sultan dalam kemelut politik dalaman Malaysia dan di Kedah. Komplot terhadap Mukhriz ini ekoran kritikan panas dan tajam, Tun Mahathir bapa kepada Mukhriz terhadap Najib.

“Ia boleh disifatkan seperti kata pepatah pukul anak sindir menantu; satu penampar untuk Mukhriz adalah juga penendang buat Tun Mahathir,” ujarnya dalam kenyataan beliau semalam.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, tindakan menggulingkan Mukhriz menggunakan pihak istana itu disifatkan sebagai mencuci tangan supaya tidak dipersoalkan rakyat yang menganggap kononnya atas titah perkenan istana.

“Bagi mereka, kalau rakyat nak marah, marahlah kepada Tuanku Sultan manakala Najib serta pimpinan Umno Kedah boleh tidur lena,” tambahnya.

Sehubungan itu beliau berkata, rakyat tidak harus diguna atas agenda politik permusuhan dalaman Umno dan langkah membersihkan penentang Najib.

“Jangan juga mengheret rakyat yang sedang menghadapi kesusahan hidup akibat kos sara hidup yang tinggi akibat kelemahan Najib,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Mingguan Malaysia semalam memberitahu tiga lagi nama yang disebut-sebut bagi menggantikan Mukhriz ialah Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail; Adun Ayer Hangat, Datuk Dr Mohd Rawi Abdul Hamid dan Adun Tanjong Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain selain Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

TAGS