Usaha kerjasama PKR, PPBM dengan Pas wajar dijayakan

Usaha kerjasama PKR, PPBM dengan Pas wajar dijayakan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Walaupun perjanjian persefahaman Pakatan Harapan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah ditandatangani yang bakal menyaksikan pertandingan satu penjuru sesama mereka pada PRU14 akan datang, usaha mengelakkan tiga penjuru antara parti-parti pembangkang termasuk Pas masih wajar dijayakan.

Tiga penjuru sememangnya sudah tidak dapat dielakkan pada PRU ke 14 akan datang, pertembungan antara BN, Pakatan Harapan, dan blok ketiga adalah perkara yang hampir pasti berlaku, namun jika wujud sekurang-kurangnya kerjasama politik antara PKR dan Pas, juga PPBM dan Pas, jumlah pertembungan tiga penjuru dapat dikurangnya, kata pepatah, “tak dapat rebung, akarnya jadilah”.

Contohnya, jika PKR bakal bertanding 99 kerusi, maka 97 kerusi PKR boleh memfokuskan dua penjuru melawan BN (Permatang Pauh dan Kuantan tidak dikira kerana pihak Pas di kedua kawasan sudah mengumumkan untuk letak calon), begitu juga dipihak PPBM, kerjasama politik dengan Pas akan membantu sekurangnya 20-30 kerusi calon PPBM menentang BN tanpa gangguan dari pihak Pas.

Kalau dilihat dalam konteks yang lebih besar, ia bermakna sekurangnya 130 kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan dan PPBM tidak akan melibatkan 3 penjuru kecuali di lebihan kerusi yang akan ditandingi AMANAH dan DAP.

Di pihak DAP, penyertaan Pas pastinya sangat dialu alukan untuk memecahbelahkan undi orang melayu, DAP yang umumnya bertanding di kerusi majoriti cina pastinya akan mempunyai kelebihan sekiranya perkara ini berlaku. Kita boleh lihat respon DAP apabila Pas mengumumkan akan meletak calon mereka di kerusi DAP, tidak ada seorang pun pimpinan DAP mengeluarkan kenyataan menentang dan menolak penyertaan itu. Jadi, tambahan dari 130 kerusi (PKR & PPBM) sejumlah 180 kerusi boleh dikatakan Pakatan mampu bergerak selesa sekiranya Pas benar bersetuju bekerjasama dengan PKR dan PPBM.

Cuma Amanah, pastinya akan melalui sedikit laluan getir apabila terpaksa berdepan tiga penjuru diantara BN – AMANAH – PAS, laluan getir bukanlah bermakna tanpa peluang menang, di pantai Barat, Amanah mampu mengatasi PAS apatah lagi di negeri Selangor, keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar baru baru ini AMANAH mendahului PAS di Selangor, apatah lagi jika penggunaan satu logo, AMANAH juga mempunyai potensi yang baik di Pulau Pinang dan Johor, manakala kekuatan sama rata di Perak, Kedah, dan Kelantan. Satu satunya negeri dimana AMANAH terpaksa melalui jalan yang sukar dan mencabar adalah negeri Terengganu.

AMANAH sekurangnya perlu pertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu untuk mencipta nama dan laluan yang lebih baik pada pilihan raya yang ke-15.

Di pihak Pas, walaupun jika mereka bersetuju bekerjasama dengan PKR dan PPBM, iaitu situasi dimana Pas dan kedua parti Pakatan Harapan itu bersetuju berdepan BN dengan dua penjuru, namun kedudukan Pas tidak akan sebaik PKR dan PPBM kerana setiap kerusi Pas bertanding, katakan 70 kerusi, maka dikesemua 70 kerusi itulah Pas akan berdepan AMANAH, dan menjadikan Pas akan bersaing tiga penjuru di kesemua kerusi yang mereka masuk bertanding.

Jadi, sebarang usaha kedua parti tersebut untuk mempastikan kerjasama politik bersama Pas, wajarlah disokong kerana ia tidak lain melainkan membawa kebaikan kepada Pakatan Harapan.

Pun begitu, melihat rekod lama sebelum ini, PKR harus bersedia untuk sekali lagi dikhianati oleh Pas pada PRU14 kerana pertembungan tiga penjuru antara Pas dan PKR pasti akan tetap berlaku lebih dari dua kerusi yang disebut, begitu juga PPBM yang harus bersedia untuk rasa dikhianati oleh Pas dan mudahan pengalaman itu akan lebih mematangkan pimpinan PPBM berdepan PRU15.

CATEGORIES
TAGS