Usahawan, belia harap Husam beri ‘cahaya’ untuk Kelantan

Usahawan, belia harap Husam beri ‘cahaya’ untuk Kelantan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Golongan usahawan dan belia di Kelantan menyambut baik keputusan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) dan menganggapnya sebagai satu ‘cahaya’ kepada rakyat Kelantan.

Mereka yang ditemui yakin Datuk Husam bukan sekadar mampu mengukuhkan kedudukan Amanah di negeri ini malah diharap dapat mengemukakan idea-idea baru untuk kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat tempatan.

Nik Faizah Nik OthmanPengedar kereta mewah Nik Faezah Nik Othman, 40, berkata walaupun tidak mengenali rapat Husam, namun sebagai usahawan beliau sentiasa mengikuti tindak tanduk ahli politik itu sejak lama dahulu.

“Dulu saya aktif sebagai anggota Puteri Umno tetapi saya amat tertarik mengikuti idea-idea yang diketengahkan Datuk Husam ketika beliau menjadi ahli Parlimen dan kemudian sebagai exco kerajaan negeri Kelantan.

“Kritikan beliau di parlimen menyentuh hati saya kerana apa yang selalu dibangkitkan beliau berkaitan dengan pemborosan dan pembaziran kerajaan yang menyebabkan ekonomi negara dalam keadaan tidak stabil,” katanya.

Menurut Nik Faezah, apabila Husam  diturunkan untuk bertanding di Dun Kijang pada pilihan raya 2004 , ramai yang menjangkakan arwah Tuan Guru Nik Aziz bercadang meletakkan beliau sebagai Menteri Besar.

“Sejak itu, saya mengikuti perkembangannya sebagai exco kerajaan negeri dan mendapati  beliau seorang yang berkebolehan untuk merancang program-program ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya.

Berkenaan keputusan Husam menyertai Amanah beliau berkata pilihan ini amat sesuai dengan perkembangan politik peringkat negeri dan nasional.

Di peringkat negeri, kerajaan dilihat semakin hilang kemampuan dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah rakyat.

“Rakyat Kelantan terus tertekan dengan harga barang yang melambung tinggi dan gaji rendah kerana tiada industri produktif tinggi yang dikembangkan kerajaan.

“Rakyat juga terus terhimpit akibat tiada peningkatan infrastruktur seperti lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang yang sesuai dengan keperluan semasa,” katanya.

Dzul AzimSeorang belia yang ditemui Dzul Azim, 25, berkata penyertaan Husam dalam Amanah menjadi pendorong dan sumber inspirasi kepada belia Kelantan.

“Rekod Datuk Husam semasa beliau menjadi exco masih diingati para belia dan golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

“Walaupun Datuk Husam ditohmah kononnya membawa projek-projek gagal namun usaha beliau mengemukakan hasrat rakyat Kelantan amat mengkagumkan,” ujarnya.

Menurut Dzul, projek-projek yang masih terkesan di hati orang ramai adalah kerahan beliau untuk rakyat Kelantan menuntut Royalti.

“Beliau jugak mencadangkan pembinaan lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan stadium negeri di Bukit Merbau Pasir Putih,” katanya.

Tambah Dzul, walaupun projek-projek tersebut tidak terlaksana selepas Husam dipinggirkan, nama beliau tetap dalam ingatan rakyat kerana mengemukakan idea berani yang memang menjadi hak negeri Kelantan.

Dengan menyertai Amanah kata Dzul, Husam dijangka mampu melonjakkan parti itu untuk diterima rakyat.

Ini katanya amat  sesuai dengan perkembangan semasa apabila Umno dan Pas sedang menghadapi saat menurun yang tidak mampu diperbaiki.

“Pas dilihat kembali kepada parti retorik yang berbincang perkara-perkara konsep tetapi tidak dilihat memberi penyesaian kepada masalah-masalah harian rakyat.

“Umno pula kini dilihat sebagai parti perosak negara dengan munculnya skandal-skandal rasuah berskala antarabangsa membabitkan pemimpin utamanya,” katanya.

TAGS