Usahawan terkaya China setuju labur di Malaysia

Usahawan terkaya China setuju labur di Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pengasas dan Pengerusi China Fortune Land Development Co Ltd (CFLD), Wang Wenxue, bersetuju untuk melabur di Malaysia.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan oleh Wang semasa pertemuan dengannya baru-baru ini.

“Saya telah berbincang dengan pemilik Guan New Industry City itu. Beliau merupakan antara usahawan terkaya di China dan pelaburannya di Guan telah mencecah US$25 bilion,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Khamis.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau berminat untuk menarik usahawan itu melabur dan membawa teknologi terkini yang dibangunkan oleh syarikatnya, ke Malaysia.

Katanya teknologi yang dibangunkan oleh syarikat itu, terutamanya di Guan New Industry City mempunyai potensi yang amat besar.

CFLD ketika ini sedang melaksanakan transformasi ke atas Guan New Industry City menjadi Pusat Teknologi Global (GTC) dengan kerjasama Tsinghua University, Peking University dan Taman Sains dan Teknologi Zhongguancun.

Najib yang melawat ke bandar perindustrian itu pada Rabu, tertarik dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilaksanakan di bandar tersebut, dibina pada 2002 sebagai kuasa pembangunan industri antarabangsa dengan tumpuan kepada lima kluster industri — aeroangkasa, bioperubatan, pembuatan peralatan canggih, e-dagang dan perkhidmatan moden.

Najib turut dibawa menyaksikan teknologi paparan AMOLED generasi keenam yang dibangunkan oleh CFLD dengan kerjasama Tsinghua Visionox and Govisionox Optoelectronics Co Ltd (GVO).

Pada Jun lepas, CFLD memeterai kerjasama menyeluruh dengan pasukan Tsinghua OLED dan Visionox, untuk sama-sama mempromosikan teknologi industri bebas, AMOLED.

Projek OLED merupakan usaha utama pertama syarikat itu di peringkat antarabangsa dalam teknologi paparan baharu, dengan jumlah pelaburan sebanyak US $4.4 bilion, termasuk US$4.2 bilion untuk barisan pengeluaran manakala US$221 juta untuk pusat R&D paparan generasi akan datang.

Modal berdaftar syarikat itu untuk projek ini sebanyak US$2 bilion, dan dijangkakan beroperasi sepenuhnya pada Jun 2018, menghasilkan 30,000 panel reka bentuk 1500mm x 1850mm sebulan.

CATEGORIES