Usir AJK masjid di Subang: MAHB patut guna saluran mahkamah

Usir AJK masjid di Subang: MAHB patut guna saluran mahkamah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebagai syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Saham tidak wajar menggunakan badan kerajaan untuk mengusir dua keluarga di kawasan Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, kata peguam R. Sivarasa.

Ahli Parlimen Subang itu berkata, MAHB sepatutnya menggunakan saluran mahkamah untuk menuntut tanah di Lot 1210 Mukim Sungai Buloh berkenaan.

“Apa status MAHB? Saya anggap ia (MAHB) badan swasta yang disenaraikan, fakta juga menunjukkan tanah itu milik kerajaan pusat atas nama pesuruhjaya tanah persekutuan.

“Jadi apa yang sepatutnya berlaku ialah MAHB yang merupakan badan swasta perlu ke mahkamah untuk buat tuntutan,” jelasnya dalam sidang media di perkarangan rumah Abdul Razak Said petang semalam.

Turut bersama dalam sidang media ialah timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub dan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim.

Mengulas Notis Kesalahan Pendudukan Secara Tidak Sah di atas Tanah Kerajaan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965, beliau berkata, Pentadbir Tanah Petaling tidak wajar mengeluarkan dokumen tersebut.

“Sepatutnya pejabat tanah tidak keluarkan surat (arahan mengosongkan tanah dalam tempoh 14 hari mulai 9 November). Siasat terlebih dahulu.

“MAHB bukan lagi badan awam. Dia badan swasta kalau nak ambil tindakan guna saluran mahkamah bukan menggunakan badan kerajaan.

“Tuntutan mereka (dua keluarga terbabit) sangat munasabah. Mereka sanggup berunding untuk pampasan,” ujar Sivarasa lagi yang juga Pengerusi Biro Guaman PKR.

Terdahulu, bekas siak masjid LTSAAS, Abdul Razak Said dan jirannya, Yaakob Abdul yang juga bekas AJK masjid tersebut dalam sidang media itu menuntut pampasan sewajarnya selepas mereka dibenarkan membina rumah di kawasan masjid itu sejak 20 tahun lalu.

MAHB yang mengendalikan 39 buah lapangan di Malaysia turut menyasarkan skop perniagaannya di peringkat antarabangsa termasuk mengendalikan lapangan terbang di Hyderabad dan Delhi di India serta membeli pegangan dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk.

TAGS