Ustaz Ghani mahu suasana duka kematian disantuni, jaga perasaan dan sensitiviti

Ustaz Ghani mahu suasana duka kematian disantuni, jaga perasaan dan sensitiviti

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir individu yang bertindak biadap mengulas berkaitan pemergian Ustaz Haron Din hingga mencetuskan kemarahan oleh semua pihak.

“Amanah menolak sekeras-kerasnya tindakan seperti ini yang tidak mencerminkan sifat yang sepatutnya ditunjukkan oleh semua orang tanpa mengira agama, bangsa mahupun parti politik.

“Perbezaan pendapat dan idealogi tidak sewajarnya menjadi punca untuk tidak menghormati pemergian tokoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang diviralkan di media sosial.

Amanah katanya merakamkan rasa duka atas pemergian tokoh ulamak, Almarhum Dato’ Dr Haron Din yang juga Mursyidul Am Pas Jumaat lalu.

“Pemergiannya disambut hiba oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam tanpa mengira kefahaman politik.

“Ketokohannya dalam bidang agama wajar dikenang ditambah lagi pelbagai sumbangannya yang memberikan manfaat kepada ummah sejagat,” katanya.

Beliau mahu perkhabaran tentang kematian wajar dijadikan muhasabah untuk kita yang masih diberikan peluang oleh Allah untuk menghirup udara di muka bumi ini.

“Adalah tidak wajar sekiranya kita mempolemik mahupun mempolitikkan soal kematian yang sudah pasti mengguris perasaan semua pihak khususnya ahli keluarga,” katanya.

Beliau seterusnya mewakili Amanah menasihatkan semua pihak khususnya ahli parti dan ahli rakan komponen Pakatan Harapan agar menghormati akan pemergian Almarhum.

“Tindakan mempolemikkan kematian almarhum adalah satu tindakan yang tiada faedahnya sama ada kepada politik mahupun negara. Wujudkan masyarakat harmoni yang saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Amalkanlah slogan pilihan kita, Islam Rahmat Untuk Semua,” katanya.

TAGS