Usul Amanah untuk perkasa Mahkamah Syariah ditolak

Usul Amanah untuk perkasa Mahkamah Syariah ditolak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak usul rang undang-undang (RUU) persendirian oleh ahli parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Menurut ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, dalam surat bertarikh 1 Oktober oleh Pandikar, usul berkenaan ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 23 (1)(h).

Justeru, beliau mempertikai tindakan usul yang ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat berkenaan memandangkan usul berkenaan bukanlah satu pertanyaan.

Peraturan Mesyuarat 23 (1)(h) menyebut, sesuatu pertanyaan tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau penyelesaian berkenaan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau hendak mendapat jawapan dalam perkara yang dimisalkan.

“Alasan itu diberi mengenai pertanyaan-pertanyaan. Usul saya dari Peraturan Mesyuarat 27.

“Jadi alasan ini bukan alasan sebenar usul saya ditolak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pada 11 Oktober lalu, Amanah mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 yang meminta supaya peruntukan pentadbiran dan prosedur yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah sedia ada dikaji semula.

TAGS