Usul undi tidak percaya di Dun Perak, dakwa Pemuda Amanah

Usul undi tidak percaya di Dun Perak, dakwa Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setelah usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dibentangkan Adun BN, Datuk Seri Ahmad Said di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu minggu lalu, Pemuda Amanah Negeri Perak pula menjangkakan usul yang sama akan dibentangkan dalam sidang Dun Perak 12 April ini.

Timbalan Ketuanya, Mohd Fitri Asmuni berkata, tidak mustahil perkara yang berlaku di Dun Terengganu itu akan berlaku di Dun Perak berdasarkan beberapa perkembangan yang berlaku kini.

Menurutnya, krisis dalaman Umno yang membawa kepada penggantungan jawatan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyidin Yassin, tindakan keluar parti Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemecatan mantan Perdana Menteri itu dari jawatan Penasihat Petronas mungkin tidak disenangi beberapa Adun BN.

“Bagi Pemuda Amanah Perak, ramai di kalangan Adun Perak daripada BN adalah penyokong Tan Sri Muhyidin dan Tun Mahathir serta beberapa pimpinan lain seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir,” ujarnya.

Malah tambah beliau, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir juga bukannya daripada kalangan ‘Umno tulen’ kerana pernah bersama menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Tidak mustahil usul tidak percaya di atas kepimpinan Datuk Seri Zambry akan di bawa di dalam Sidang Dun Perak nanti dan kita meminta agar semua Adun Pakatan Harapan (PH) khasnya bersedia jika perkara tersebut berlaku pada 12 April 2016 ini,” katanya.

TAGS