Utamakan kemudahan asas sesuai status bandaraya Kuala T’ganu, kata MP

Utamakan kemudahan asas sesuai status bandaraya Kuala T’ganu, kata MP

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Bahrin Shah melawat kawasan kebakaran melibatkan 13 premis di Jalan Petani, berhampiran Dataran Shahbandar

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengutamakan kemudahan asas serta keselamatan rakyat setaraf dengan status Kuala Terengganu sebagai bandaraya.

Beliau mengulas masalah tekanan air yang rendah sehingga menyukarkan pihak bomba memadamkan kebakaran melibatkan 13 premis di Jalan Petani, berhampiran Dataran Shahbandar, semalam.

“Saya amat dukacita Kuala Terengganu yang berstatus sebuah bandaraya menghadapi masalah keselamatan asas seperti ini. Kalau situasi sebuah bandaraya tidak mempunyai tekanan air yang mencukupi berhadapan kebakaran bangunan kecil satu tingkat, bagaimana pihak bomba àkan menangani situasi kebakaran bangunan yang jauh lebih tinggi yang di dirikan sekarang?

“Kebakaran tahun lepas di tempat yang sama melibatkan hanya lebih kurang empat buah bangunan tetapi yang berlaku kali ini berjumlah 13 bangunan. Di manakah peningkatan tekanan air yang diperlukan oleh bomba untuk menghadapi masalah yang sama ditempat yang sama?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebuah bandaraya tidak sepatutnya hanya bermegah dengan bangunan moden yang tinggi dan besar tampa meningkatkan kualiti serta keupayaan keselamatan yang diperlukan.

“Kebakaran dahsyat bangunan pada lewat malam di Kota besar London beberapa hari lepas telah meihat kebangkitan rakyat yang sangat marah atas kecuaian kelulusan pihak berkuasa untuk renovasi bangunan yang telah menyumbang kepada peristiwa pengorbanan banyak nyawa orang awam golongan pendapatan sederhana.

“Kita sangat bernasib baik dua kebakaran di tempat yang sama berlaku pada waktu orang ramai masih belum tidur. Apakah insiden yang lebih buruk yang melibatkan nyawa mesti berlaku sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya?” katanya.

Justeru, katanya, pihak berkuasa dan kerajaan mesti bersikap lebih profesional dan bertanggungjawab dalam isu keselamatan rakyat.

“Sebenarnya sudah ada tiga kebakaran dalam waktu beberapa tahun yang lepas di kawasan yang sama. Saya mohon kerajaan dan pihak berkuasa lebih prihatin dan peka keperluan serta keselamatan rakyat jelata yang mengharapkan pembelaan penjagaan nyawa serta harta benda rakyat.

“Mangsa-mangsa yang terlibat adalah dari golongan peniaga kecil yang tidak mempunyai insuran serta penghuni rumah berpendapatan rendah yang rumah mereka juga tidak mempunyai polisi insuran. Mereka boleh dikatakan kehilangan hampir segala-galanya,” katanya.

TAGS