Utusan diperintah bayar gantirugi RM200,000 kepada Anwar

Utusan diperintah bayar gantirugi RM200,000 kepada Anwar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak perlu membayar ganti rugi RM200,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah beliau dalam dua artikel berkaitan temu bualnya dengan BBC empat tahun lepas.

Ini disebabkan penerbit akhbar berbahasa Melayu itu dan Abdul Aziz gagal memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan, oleh itu, tidak boleh merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam memberi award ganti rugi kepada bekas ketua pembangkang itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Pesekutuan yang dipengerusikan Hakim Tan Sri Hasan Lah sebulat suara menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu dan memerintahkan mereka membayar kos perundangan RM10,000.

Hakim Hasan berkata mahkamah tidak mendapati sebarang merit dalam permohonan itu. Turut bersidang bersama beliau ialah Hakim Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Utusan Melayu memohon mahkamah memberi kebenaran untuk merayu dan mencadangkan empat persoalan undang-undang untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan berkaitan isu sama ada sabitan terhadap Anwar dalam kes Sodomi II boleh digunakan untuk mengurangkan kuantum ganti rugi dalam saman fitnah itu.

Peguam Latheefa Koya mewakili Anwar berkata mahkamah tidak seharusnya membenarkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu memandangkan perkara yang dibangkitkan itu bukanlah baharu dan telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Anwar, 69, menyaman Utusan Melayu dan Abdul Aziz dengan mendakwa mereka telah menerbitkan dua artikel mengandung fitnah terhadap beliau di muka hadapan dan muka 10 akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 17 Jan 2012, berhubung temu bual beliau dalam BBC.

Beliau menang dalam kesnya terhadap Utusan Melayu dan Abdul Aziz yang kemudiannya diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 19 Okt tahun lepas untuk membayar beliau ganti rugi am RM100,000 dan ganti rugi teruk RM100,000.

Mereka kalah dalam rayuan di Mahkamah Rayuan pada 25 Mei, tahun ini, menyebabkan mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Di luar mahkamah, Latheefa pemberita perkara itu telah sampai ke penghujung bagi Utusan Melayu dan Abdul Aziz berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memberi kebenaran untuk merayu.

TAGS