Veteran Pas dikritik tersasar isu pindaan Akta 164

Veteran Pas dikritik tersasar isu pindaan Akta 164

Selepas sebulan Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) diluluskan, masih ada di pihak Pas yang menganggap pindaan akta itu sebagai membenarkan anak zina dibin atau dibintikan dengan bapa biologinya.

Bekas Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Subky Abdul Latif bahkan berkata, pindaan akta yang sebenarnya berkaitan pembubaran perkahwinan pasangan bukan Islam itu antara strategi pihak musuh Islam di Malaysia.

“Pembentangan RUU 164 oleh kerajaan BN membin dan membintikan anak zina dengan bapa biologinya adalah pencerobohan kali ketiga dalam usaha musuh Islam untuk menghapuskan Islam di negara kita.

“Pertama, pencerobohan penjajah Peringgi tahun 1511 menakluk Melaka menghapuskan syariat/undang-undang Islam. Kedua, percubaan Inggeris menubuhkan Malayan Union bagi memansuhkan Raja-Raja dan agamanya.

“Kini, kerajaan BN yang menguasai Parlimen meluluskan RUU 164. Islam gagal dihapuskan penjajah. Melayu berarak istana-istana menolak Malayan Union,” tulisnya semalam dipetik dari status Facebook beliau.

RUU 164 diluluskan di Dewan Rakyat pada jam 12.45 tengah malam, 10 Ogos lalu selepas dibacakan kali ketiga serta dibahaskan lebih empat jam, bermula jam 8.30 malam.

Dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, pindaan akta itu membolehkan suami atau isteri yang memeluk agama Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil mengikut peruntukan Subseksyen 51(1) Akta 164.

Azalina ketika menggulung perbahasan berkata, pindaan tersebut juga mampu menyelesaikan isu penentuan hak jagaan anak dan pembahagian harta sepencarian bersama bekas pasangan dan harta lain yang dipunyai atau diperoleh oleh seseorang mualaf sebelum memeluk agama Islam.

Mengulas lanjut, Subky yang juga antara pengasas Harakah dan kini kolumnis akhbar rasmi Pas itu menyarankan masyarakat Melayu Islam berarak ke istana di negeri masing-masing mendesak campur tangan raja.

“Apa Islam/Melayu wajar buat dengan RUU 164? Berarak ke setiap istana, gunakan kuasa raja sebagai ketua agama halang pencerobohan terhadap Islam.

“Kalau raja tak dapat halang, apa ertinya raja sebagai ketua agama? Daulat Tuanku!” tegasnya lagi yang kemudiannya menyaksikan deretan komentar yang menegur Subky supaya membetulkan fakta terlebih dahulu.

{loadposition myposition} Antaranya, Mohd Syukri yang berkata, “Elok Pak Subky padam status ni, jauh tersasar fakta” manakala pengguna Facebook, Shahrun Ishak mengulas, “Harap Pak Subky lebih teliti apa yang terkandung dalam RUU 164 itu.”

Menurut Haffiz Arshad pula, dakwaan Subky amat jauh tersasar daripada pindaan akta yang diluluskan pada 10 Ogos lalu yang dilihat dapat menyelesaikan isu berbangkit berhubung pemelukan agama oleh salah seorang pasangan bukan Islam yang berkahwin di bawah undang-undang sivil.

“Inilah akibatnya bila terlalu ghairah nak menjadi dan menonjolkan diri dan kumpulan sebagai pejuang agama. Akhirnya bakal menjadi fitnah kepada agama,” tulis Haffiz.

Memandangkan Subky menyebut ‘kerajaan BN’ yang bertanggungjawab dalam isu pindaan Akta 164, pelayar Facebook, Zaidi Zakaria berpendapat Subky perlu menggesa Presiden Pas bukannya raja untuk memujuk Presiden Umno atas semangat taawun.

“Kalau itu pun gagal, apa makna taawun Pas-Umno? Dah pun gagal, WAJIB bagi Pas putuskan segera taawun dengan Umno,” saran Zaidi lagi.

Dalam hal berkaitan, Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin turut berkongsikan status Facebook Subky itu dan melontarkan reaksinya.

“Pindaan Akta 164 tiada kena-mengena dengan membin atau membintikan anak dengan bapa biologinya.

“Pindaan itu berkaitan pembubaran perkahwinan orang yang berkahwin di bawah akta itu. Pseudo (palsu) apa ni?” soal Timbalan Pengerusi AMANAH Perlis berkenaan lagi.

Dalam hal berkaitan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini dilapor berkata, pindaan Akta 164 tidak berkaitan dengan penentuan agama anak di bawah umur 18 tahun kerana Seksyen 88A telah digugurkan daripada pindaan yang baharu.

Seksyen 88A berkaitan status agama anak mengikut perkahwinan asal tertakluk kepada keinginan anak itu apabila telah mencapai umur 18 tahun.

CATEGORIES
TAGS