Veteran Umno Kelantan minta polis siasat kumpulan G25

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Veteran UMNO Kelantan meminta polis menyiasat kumpulan bekas penjawat awam (G25) yang mencadangkan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan hukuman khalwat dimansuhkan.

Pengerusi Veteran UMNO Kelantan Datuk Rozali Isohak berkata kenyataan daripada kumpulan G25 itu dilihat sebagai satu cubaan mengganggu urusan kerajaan persekutuan dan mengkhianati sistem perundangan syarak serta pentadbiran agama Islam negeri di bawah Raja-Raja Melayu.

Justeru, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, Pengkalan Chepa  hari ini.

Rozali berkata Veteran UMNO Kelantan berpendapat kenyataan oleh kumpulan berkenaan amat serius dan tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh merosakkan akidah umat Islam.

“Rasionalnya, Jakim adalah nadi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia manakala hukuman khalwat adalah sangat penting untuk mencegah dan mengawal perlakuan yang membawa kepada zina, perbuatan yang dikutuk dan ditegah oleh hukum syarak,” katanya.

TAGS