Wacana Melayu di ISEAS Singapura

Wacana Melayu di ISEAS Singapura

SAYA dihubungi oleh pihak Yusof Ishak Institute Singapura untuk berkongsi sebahagian daripada pengalaman saya dalam politik Malaysia. Pusat ini dikenali sebagai International South East Asia Studies (ISEAS) terletak di Universiti Nasional Singapura yang berprestij.

Pada mulanya saya tidak pasti apa yang boleh saya kongsikan kerana mereka tidak memberi tajuk tertentu. Saya mencadangkan tajuk Melayu dalam politik Malaysia. Tajuk ini amat diminati dalam konteks politik Malaysia di mana Melayu menjadi tonggak politik negara.

Saya ingin membawa perhatian kepada dinamika perubahan sekitaran dan minda Melayu yang mahu melihat ke hadapan tetapi tersekat dengan mentaliti kepungan sebagai jerat minda untuk mara ke hadapan. Pasti menarik untuk mencabar erti menjadi Melayu dalam perkembangan pesat dunia politik dan perkembangan minda Melayu sendiri.

Tajuk yang saya pilih ialah “Malay Politics in Malaysia: Changing World and Way Forward” (Politik Melayu di Malaysia: Dunia yang berubah dan jalan mengunjur ke hadapan). Tajuk ini memberi ruang untuk saya mencabar fahaman kemelayuan dalam dinamika politik semasa.

Saya ada asas yang kukuh untuk menilai semula apa yang selama ini dimaksudkan menjadi Melayu dalam politik Malaysia. Asas paling utama adalah Melayu kini ditafsir dalam naratif yang berbagai dan tidak lagi homogenous. Dari sudut politik ia bukan lagi tentang ‘hidup Melayu’ tetapi bagaimana Melayu harus ‘hidup’ dalam kepelbagaian dan perubahan pesat di hadapannya. Di sini Melayu menjadi rebutan oleh pesaing politik sama ada mereka dari perjuangan teras Melayu  mahupun teras Islamik mahupun dari teras progresif liberal.

Faktor persaingan ini melahirkan pengundi Melayu yang berbagai aliran bukan mahu perpecahan tetapi mahu membawa Melayu dalam kerangka yang lebih relevan dan progresif. Tanggapan bahawa Melayu perlu bersatu tidak mampu berhadapan dengan persaingan politik yang ada di hadapan. Yang perlu dilakukan ialah siapa yang boleh membawa Melayu dengan lebih baik dalam perkembangam dunia yang di luar kawalan zon Melayu.

Kedua, faktor multi-culturalism dan multi-ethnic lebih mudah dijawab atas premis nilai alamiyah sejagat manakala ethno-centric atau asas kaum agak lemah dipertahankan dalam suasana ini. Jadi isu kemelayuan itu tidak boleh bertahan atas perkauman tetapi mesti berdiri atas nilai kepelbagaian budaya, kaum serta agama.

Ketiga, orang Melayu sudah ada kesedaran memilih, khusus dengan kebangkitan era Reformasi, parti Melayu Umno tidak pernah terasa gigitan dan ugutan terhadap dominasinya yang paling kuat sehingga orang Melayu sudah berani mempertikaikan perjuangan Melayu melalui Umno.

Keempat, kebangkitan kesedaran sivil dan tuntutan ruang demokrasi merentas kaum turut mencetuskan semangat pada orang Melayu yang kini bergerak dalam kerangka menuntut demokrasi dan hak sivil membantah dan menuntut pilihan raya bersih.

Terlerainya dominasi struktur kuasa politik Melayu oleh Umno telah membuka ruang kosong untuk parti-parti lain merebut konstituensi Melayu. Ia adalah persaingan sihat dalam membentuk citra-peribadi Melayu baru malah peluang untuk Melayu membuktikan keupayaannya bersaing dalam pasaran terbuka politik.

Suasana ini membentuk keperibadian Melayu yang lebih universal, membela hak asasi manusia dan progresif dalam menilai persekitarannya yang dinamik. Ini bukan bermakna kita mahu cairkan Melayu dan kemelayuannya, cuma ‘worldview’ Melayu kini dibina atas kesedaran alamiyah dan manusiawi yang ingin membina masa depan negara secara inklusif bukan eksklusif.

Ruang untuk menyegarkan kebangkitan ini ialah meleraikan fahaman perkauman dan membuka peluang sama rata untuk mara ke hadapan. Dasar Ekonomi secara afirmatif perlu dinilai semula agar kitaran ulangan tidak berlaku.

Keterbukaan dan peluang sama rata akan melimpahkan kekayaan untuk membela mereka yang perlu dengan melebarkan analisis secara seisi rumah dan bukan lagi dari kacamata kaum.

Demikianlah bicara saya sehari di ISEAS Singapura mengajukan wacana Melayu Malaysia dalam politik terkini.
_______________________________

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Malaysia dan Naib Presiden Parti Amanah Negara.

CATEGORIES

COMMENTS