Walau dihalang masuk Sarawak, Nurul Izzah tetap bawa perubahan

Walau dihalang masuk Sarawak, Nurul Izzah tetap bawa perubahan

Walaupun dihalang memasuki Sarawak, para pemimpin Pakatan Harapan tidak tawar hati untuk melaksanakan program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat negeri itu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Nurul Izzah AnwarWalaupun dihalang memasuki Sarawak, para pemimpin Pakatan Harapan tidak tawar hati untuk melaksanakan program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat negeri itu.

PKR sebagai contoh melancarkan program My Changemakers bagi membantu penduduk pedalaman Sarawak mendapatkan bekalan elektrik melalui tenaga solar.

“Kamu boleh menghalang saya dari memasuki Sarawak, tapi kamu tidak boleh menghalang kami membawa perubahan yang bermakna bagi rakyat Sarawak,” ujar Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Dalam satu kenyataan media bersama Ahli Dewan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei dan Koordinator My Changemakers, Adam Fistival Wilfrid, Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, 2016 memberi harapan baru kepada rakyat Sarawak untuk merasai angin perubahan masa depan negeri mereka.

“Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, sebuah proses demokrasi yang memberi hak kepada rakyat Sarawak memilih tampuk pemerintahan yang bakal memimpin rakyat Sarawak.

“Dalam keadaan genting seperti ini, beberapa pemimpin parti Pakatan Harapan dinafikan haknya untuk berkhidmat untuk rakyat Sarawak.

“Pemimpin Keadilan (PKR) dihalang memasuki Sarawak tanpa alasan yang munasabah. Tetapi, harus diingat bahawa halangan ini tidak sesekali menggugat usaha kami berkhidmat untuk rakyat Sarawak demi masa depan yang lebih baik,” tegas beliau.

Menurut Nurul Izzah, projek My Changemakers adalah wadah perjuangan PKR bagi membimbing dan memenuhi impian rakyat Sarawak.

Penubuhan My Changemakers juga, jelasnya membuktikan bahawa masih ada rakyat dan anak muda Sarawak yang mampu menabur bakti, berjuang #Demi Sarawak yang mereka cintai.

Tegas Nurul Izzah, tiada siapa yang boleh menghalang semangat dan usaha My Changemakers membawa perubahan kepada rakyat Sarawak dan mereka akan terus mara berbakti kepada negeri itu.

Menurutnya, masih terdapat rakyat Sarawak di kawasan pedalaman yang tidak mendapat bekalan elektrik di era serba moden ini.

Hanya apabila pilihan raya negeri Sarawak bakal diadakan, rakyat dijanjikan perubahan.

“Perkara sebegini tidak harus berlaku kepada sebuah negara membangun dan masih mengejar status negara maju menjelang 2020.

“Oleh itu, My Changemakers memperuntukkan sebanyak 200 unit solar untuk dipasang di beberapa buah kampung pedalaman Sarawak,” ujar Nurul.

Beliau menambah, sehingga kini 114 unit solar telah memberi manfaat kepada hampir 100 keluarga di beberapa buah kampung di Ba’ Kelalan.

My Changemakers, jelas beliau turut mencari dana dan peruntukan kewangan bagi membina jalan penghubung yang selamat dan bermanfaat kepada rakyat yang memerlukan khususnya di kawasan pedalaman.

“Pembinaan jalan penghubung di beberapa kawasan rumah panjang di Sarawak merupakan salah satu inisiatif My Changemakers dalam projek fasa kedua.

“Rancangan pembangunan jalan penghubung ini adalah semata-mata demi kemudahan harian rakyat Sarawak menjalani kehidupan pada masa hadapan.

“Cita-cita untuk membangunkan rakyat Sarawak ini akan diteruskan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Nurul Izzah berkata, 250,000 daripada 1.2 juta rakyat Sarawak khususnya yang tinggal di luar bandar masih tidak mendapat akses tenaga elektrik.

Program tenaga solar My Changemakers, ujar beliau diharap dapat menyinari sebahagian daripada 216 kampung atau 36% yang masih belum menerima bekalan tenaga elektrik.

“Tahniah saya ucapkan kepada sukarelawan yang banyak membantu My Changemakers merealisasikan impian rakyat Sarawak.

“Perjuangan mereformasi Sarawak ini perlu dipertingkatkan demi mencapai sebuah negara yang lebih baik menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11,” ujarnya.

TAGS