Walau Najib diganti Deklarasi Rakyat diterus jika tuntutan tak dipenuhi

Walau Najib diganti Deklarasi Rakyat diterus jika tuntutan tak dipenuhi

Sekretariat Deklarasi Rakyat menegaskan, kempen Deklarasi Rakyat akan digerakkan semula jika pengganti perdana menteri Datuk Seri Najib Razak gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Setiausaha sekretariat berkenaan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pendirian sekretariat adalah jelas iaitu sesiapa yang menggantikan Najib mestilah seseorang yang mendapat sokongan dan diyakini oleh majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekretariat Deklarasi Rakyat menegaskan, kempen Deklarasi Rakyat akan digerakkan semula jika pengganti perdana menteri Datuk Seri Najib Razak gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. 

Setiausaha sekretariat Deklarasi Rakyat Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pendirian sekretariat adalah jelas iaitu sesiapa yang menggantikan Najib mestilah seseorang yang mendapat sokongan dan diyakini oleh majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Beliau bagaimanapun kata Kamarudin mestilah bersedia menentang rasuah, salah guna kuasa dan berusaha mengembalikan kebebasan institusi-institusi dalam 
negara serta berpegang kepada keluhuran undang-undang (rule of law).

Menurut kamarudin juga, pengganti Najib juga mestilah seorang yang akan meletak kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan diri.

“Jika beliau gagal memenuhi syarat-syarat ini, kempen Deklarasi Rakyat akan akan terus digerakkan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, timbul persoalan daripada banyak pihak mengenai pengganti Najib jika beliau berjaya disingkirkan.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap dalam forum Laporan PAC 1MDB : Najib – Bersubahat atau Tidak Bersalah? anjuran Pakatan 
Harapan di Shah Alam Khamis lalu berkata, besar kemungkinan parti terbesar dalam parlimen akan memilih perdana menteri yang juga daripada Umno BN.

Namun katanya adalah sesuatu yang tidak cerdik jika mereka masih memilih orang seperti Najib untuk menjadi perdana menteri.

Menurut Kamarudin juga, sokongan rakyat terhadap Deklarasi Rakyat sejak ia dilancarkan pada 4 Mac lalu amat menggalakkan dan membuktikan deklarasi ini 
adalah cetusan rakyat yang berkongsi pandangan bahawa negara ini hanya boleh terselamat jika Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Rasa malu dan penghinaan yang terpaksa ditanggung setiap hari oleh rakyat Malaysia dibawah kepimpinan Najib adalah sesuatu yang tidak pernah kita alami.

“Laporan-laporan memalukan yang sebegitu banyak dan tidak berkesudahan mengenai salahlaku kewangan beliau telah diterbitkan di dalam media dan akhbar- 
akhbar di serata pelusuk dunia semenjak skandal ini terbongkar tidak ada tanda-tanda akan reda.

“Sesungguhnya salah laku Najib telah merendahkan dan memalukan Malaysia dan kepimpinan beliau jelas akan membawa kita ke jalan yang akan 
memusnahkan sistem ekonomi, sosial dan politik negara,” katanya.

Justeru beliau berkata, sekretariat sedang mengatur lebih banyak program sebagai sebahagian daripada siri jelajah bagi memberi penerangan kepada rakyat.

“Borang Deklarasi Rakyat akan disediakan untuk ditandatangani oleh mereka yang hadir dan menyokong gerakan kita.

“Yang tidak dapat hadir dan menyokong usaha ini boleh menandatangani deklarasi itu di atas talian,” katanya lagi.

TAGS