Walaupun bayar kos mahkamah, ada yang terbuku di dada Nasrudin

Walaupun bayar kos mahkamah, ada yang terbuku di dada Nasrudin

Selepas beberapa kali berbalas kenyataan dengan pegawai khas undang-undang ketua menteri Pulau Pinang, Raja Syarafina Raja Shuib berhubung kos mahkamah berjumlah RM10,000 yang gagal dijelaskan, Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan akhirnya melunaskan pembayaran.

Peguam Nasrudin, Wan Rohimi Wan Daud dalam satu kenyataan semalam berkata, Nasrudin telah mendeposit sejumlah RM10,000 ke akaun firma guamannya pada 12 Oktober lalu dan maklumat pembayaran itu telah pun difakskan kepada peguam Guan Eng semalam.

Menurut Wan Rohimi, isu yang timbul adalah sedikit kelewatan untuk membayar kos mahkamah kerana Penghakiman Persetujuan bertarikh 18 Jan 2016 hanya diserahkan kepada pejabat beliau pada 19 September lalu.

Peguam Guan Eng, ujarnya hanya memberi tempoh selama 14 hari untuk menjelaskan bayaran tersebut dan tempoh tersebut berakhir pada 2 Oktober.

Pada 7 Oktober, jelas beliau, peguam Guan Eng menghantar notis tuntutan baru bertarikh 7 Oktober yang hanya diterima oleh pejabatnya pada 11 Oktober.

Beliau seterusnya mempertikaikan dakwaan Syarafina bahawa pelanggannya telah menghina mahkamah kerana mengingkari perintah untuk membayar kos sedangkan menurut amalan perundangan, penghutang penghakiman (judgment debtor) dikategorikan dalam ‘liabiliti sivil’.

Menurutnya, Nasrudin yang sedang berada di luar negara pada masa tuntutan dibuat memerlukan sedikit masa untuk menyediakan jumlah wang yang dituntut sekembalinya ke tanah air.

“Jangan disamakan kedudukan kewangan YB Nasrudin dengan bos Syarafina (Guan Eng). Elaun sebagai ahli parlimennya sebahagian besar dilaburkan di medan siasah, mencari sekelumit syafaat jihad, buat bekalan bertemu Tuhannya.

“YB Nasrudin hanya mampu mendiami rumah teres satu tingkat di tepi hutan, dipinggir Bandar Kuantan. Itu pun hutang! Tiada banglo bernilai jutaan, tiada kolam renang, dan tiada kroni untuk menderma jutaan, dalam masa sejam! Justeru kelewatan seminggu seharusnya dimaafkan!” ujar Wan Rohimi sinis.

Menjelas lanjut, beliau berkata setiap tuntutan hutang penghakiman perlu didahului dengan serahan perintah/penghakiman yang dimeterai, terhadap penghutang penghakiman.

Menurutnya, prosiding perlaksanaan (dalam bentuk prosiding saman penghutang penghakiman, garnisi, sitaan atau lain-lain) perlu difailkan jika orang yang kena tuntut ingkar, dan prosedur ini terkandung secara khususnya melalui Aturan 45-50 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Wan Rohimi menambah, penzahiran kekesalan dan tuntutan kos adalah dua perkara berbeza yang tidak sepatutnya dicampur-aduk.

Beliau juga tidak menghalang Guan Eng untuk menuntut RM2,000 kos guaman daripada anak guamnya tetapi mahu ia dilakukan menurut proses yang betul.

Raja Syarafina dalam kenyataan sebelum ini menegaskan bahawa Nasrudin boleh didakwa menghina mahkamah kerana enggan menjelaskan bayaran yang diperintahkan mahkamah.

Menurutnya, penghakiman persetujuan adalah arahan daripada mahkamah untuk Nasrudin membuat bayaran sebanyak RM10,000 kepada Guan Eng sebagai kos serta membuktikan bahawa pemimpin Pas itu menzahirkan perasaan kesal atas tuduhan tidak berasas ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang dan menarik balik artikelnya.

Raja Syarafina berpendapat, oleh kerana penghakiman persetujuan telah diserahkan kepada peguam Nasrudin seawal 19 September lalu, kegagalan atau keengganan pemimpin Pas itu membayar jumlah yang diperintahkan adalah satu pengingkaran dan boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah.

TAGS