Walaupun dibantah Kementerian Pendidikan teruskan Program Dwibahasa

Walaupun dibantah Kementerian Pendidikan teruskan Program Dwibahasa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebanyak 296 sekolah di seluruh negara melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) yang dijalankan sejak Januari lepas dan ia akan diteruskan, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata jumlah itu hanya melibatkan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang memenuhi empat syarat utama sebelum ia dibenarkan untuk dilaksanakan.

Daripada 296 sekolah ini, sebanyak 122 melibatkan sekolah rendah manakala bakinya adalah sekolah menengah dan daripada jumlah itu juga 70 peratus dilaksanakan di sekolah bandar, katanya.

Katanya tahun ini yang terlibat ialah di peringkat sekolah rendah tahun satu dan empat manakala di peringkat menengah pelajar tingkatan satu.

“Sepanjang tiga bulan pelaksanaannya, saya hanya mendapat respons daripada para guru untuk mendapatkan sokongan berterusan daripada kita bagaimana untuk mereka dapatkan pedagogik yang mereka mahukan terutama sekali dalam bahasa Inggeris kerana program ini dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

“Kerana itu kami sediakan tindakan dan perancangan yang pusat pengajaran bahasa Inggeris iaitu English Language Teaching Centre (ELTC) telah disediakan secara dalam talian bagi membolehkan guru-guru ini mengikuti peningkatan dalam bahasa Inggeris,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai DLP di sini, semalam.

Khair berkata empat syarat itu adalah sekolah yang ingin memohon atau yang dipilih mestilah mempunyai sumber yang cukup berdasarkan bahan rujukan, bahan dan infrastruktur untuk mengajar; pengetua sekolah dan guru bersetuju, mampu, boleh dan mahu untuk melaksanakannya; perlu adanya persetujuan penuh daripada waris atau ibu bapa murid secara bertulis kepada sekolah dan pencapaian sekolah dalam bahasa Melayu mestilah melebihi Gred Purata Nasional bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Mengulas mengenai pelaksaan DLP di Sekolah Jenis Kebangsaan Khair berkata pihaknya menerima 30 permohonan daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) namun tidak dapat dilaksanakan kerana tidak memenuhi satu daripada syarat utama yang ditetapkan.

“Namun kita ada gerakan memartabatkan bahasa Melayu kita akan bentuk pasukan untuk membantu sekolah ini meningkatkan pencapaian bahasa Melayu sehingga ia telah mantap dan stabil baru kami akan benarkan,” katanya.

Khair berkata DLP yang dilaksanakan sejajar dengan inisiatif yang ada di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris.

“Kami akan teruskan program ini dengan gelombang kedua yang akan dibuat pada tahun hadapan…bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mandatori untuk dilaksanakan sebaliknya ia lebih kepada permohonan sekolah itu sendiri dengan memenuhi empat syarat yang kami tetapkan atau Pejabat Pendidikan Daerah yang akan pilih berdasarkan empat syarat itu juga.

“Program ini juga antara lainnya bagi membentuk individu di Malaysia boleh menceburi peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam pasaran global dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi selain memberi peluang kepada murid mempelajarai bahasa tambahan,” katanya.

DLP merupakan program penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

TAGS